PETALING JAYA: Ketiadaan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada saingan Piala Uber 2024 menjadi Teoh Mei Xing selaku pemain senior sekali gus kapten pasukan membarisi skuad wanita negara ke kejohanan berkenaan.
Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu mengakui ketiadaan Pearly-Thinaah memberinya bebanan untuk menggalas tanggungjawab itu namun enggan mengalah dan menjadikannya sebagai motivasi dan cabaran baharu dalam kariernya.
“Barisan skuad wanita mereka membuat persediaan dengan baik dan memberi fokus sepenuhnya. Memang ada tekanan yang saya rasai namun saya percaya kebolehan rakan sepasukan dalam memberi persembahan ketika saingan bermula.
“Tiada yang mustahil, kita perlu yakin semasa Piala Uber berlangsung. Memang tidak mudah namun kita harus berpegang kepada prinsip yang kita boleh mara ke suku akhir. Kalau kita fikir kita tidak mampu, lebih baik tidak pergi langsung,” kata Mei Xin.
Mei Xing yang sepi tidak bergandingan bersama pasangannya Anna Cheong yang masih belum pulih daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanannya sejak Oktober 2022 semasa kejohanan Terbuka Denmark.
Saingan Piala Uber 2024 menyaksikan pemain kelahiran Subang Jaya itu bakal bergandingan dengan Go Pei Kee buat kali ketiga selepas Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 dan Terbuka Malaysia 2023 lalu.
Mengulas mengenai kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Mei Xin berkata kesemua pemain memberi kerjasama dan keserasian semasa latihan amat memberangsangkan.
“Kami mula latihan kem pusat sejak Rabu lalu dan semuanya berjalan dengan lancar. Goh Jin Wei sertai kem latihan sedikit lewat pada hari Khamis,” katanya.
Pasukan wanita negara bakal menghadapi tugas berat selepas dijadualkan menentang Thailand, Taiwan dan Australia menerusi Kumpulan B.
Untuk rekod, pencapaian tertinggi skuad negara pada saingan Piala Uber 2024 ialah mara ke suku akhir pada edisi 2010 di laman sendiri. – UTUSAN










