Malaysia selesa selaku underdog lawan Denmark

Malaysia selesa selaku underdog lawan Denmark

Lee Zii Jia lebih selesa meletakkan Malaysia selaku pasukan underdog berdepan Denmark menjelang aksi terakhir Kumpulan D pada Piala Thomas di Chengdu, China, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia lebih selesa meletakkan Malaysia selaku pasukan underdog berdepan Denmark menjelang aksi terakhir Kumpulan D pada Piala Thomas di Chengdu, China, hari ini.

“Kita pun tak tahu apa yang akan berlaku, sebagai pasukan underdog kita hadapi apa sahaja boleh berlaku.

“Perlawanan ini untuk menentukan juara kumpulan, sejauh mana kita bersedia jumpa mereka akan dapat dijawab pada pertemuan itu nanti,” kata pemain No. 10 dunia itu ketika diminta mengulas peluang Malaysia berdepan Denmark.

Jawapan jujur Zii Jia itu memang benar, jika ran­king dunia barisan pemain negara diambil kira, Denmark memiliki kelebihan yang ketara terutama dalam sektor perseorangan.

Tugas berat menanti anak jati Kedah itu untuk mengutip mata pertama ke atas bintang No. 1 dunia, Viktor Axelsen dan seandainya Zii Jia gagal, bebanan itu terpaksa digalas Leong Jun Hao atau pemain remaja, Justin Hoh.

Baik Jun Hao mahupun Justin, berdepan Anders Antonsen dan Rasmus Gemke memang berat buat mereka.

Namun, keupayaan Jun Hao yang menghuni ranking ke-37 dunia dan Justin di kedudukan ke-232 dunia gara-gara lama tidak bermain kerana kecederaan untuk melakar kejutan bukanlah mustahil dengan rekod pertemuan masih 0-0.

“Untuk perseorangan kita memang kena berusaha, tetapi, semalam (Sabtu lalu) kita pun tahu Jun Hao mampu cipta kejutan ke atas Angus Ng Ka Long, Justin pun bermain sangat bagus walaupun kali pertama tampil pada Piala Thomas,” kata Zii Jia.

Berdasarkan prestasi sewaktu berdepan Hong Kong, Zii Jia yakin, Jun Hao dan Justin membuktikan mereka mampu berdepan pencabar yang berada di ranking lebih tinggi, walaupun, pemain Denmark diakuinya jauh lebih sukar.

Zii Jia berkata, kelebihan Malaysia terletak kepada dua beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani.

Pertembungan antara Aaron-Wooi Yik dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen diibaratkan ‘buku dengan ruas’ tetapi gandingan negara itu memiliki kelebihan jika rekod pertemuan 6-3 diambil kira.

Bagi Sze Fei-Izzuddin yang menghitung pertemuan de­ngan Rasmus Kjaer-Federik Sogaard peluangnya ibarat 50-50 dengan rekod pertemuan 0-0.

Mengulas mengenai peluangnya dengan Axelsen, Zii Jia menjelaskan, persembahan bin­tang Denmark itu sejak kebe­lakangan ini sedikit merudum tetapi penurunan tersebut tidak terlalu ketara.

“Kita semua tahu dia pemain yang sangat berpengalaman, dia telah menang Olimpik, Kejuaraan Dunia, Piala Thomas tetapi saya tetap akan berikan yang terbaik,” katanya yang memiliki rekod pertemuan 3-5 berdepan Axelsen.

Walaupun, Malaysia dan Denmark telahpun menempah slot suku akhir lebih awal tetapi kedua-dua pasukan pasti mahu muncul juara Kumpulan D bagi mengelak berdepan pasukan pilihan sewaktu undian semula dibuat nanti untuk peringkat lapan terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×