Kukuhkan pasukan sebelum fikir ganjaran - Wooi Yik

Kukuhkan pasukan sebelum fikir ganjaran – Wooi Yik

SOH Wooi Yik mengetuai skuad Malaysia ke Piala Thomas 2024 di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain-pemain badminton yang membawa cabaran negara ke Piala Thomas 2024 perlu menyuburkan ikatan sesama sendiri sebagai sebuah pasukan sebelum memikirkan soal ganjaran jika muncul juara.

Pemain beregu lelaki negara yang juga kapten skuad Piala Thomas 2024 negara, Soh Wooi Yik mengakui tidak mudah untuk ganjaran itu didapati dan ‘ikatan’ antara pemain dalam skuad harus lebih kuat berbanding edisi lalu.

“Semestinya ganjaran ini pembakar semangat. Turut memberi motivasi kepada kami juga. Saya menonton Piala Thomas sejak kecil lagi, ia acara berpasukan bukan individu.

“Saya tidak mahu berfikir tentang ganjaran. Yang menjadi keutamaan saya bagaimana kami hendak membawa pulang trofi tersebut ke tanah air. Setelah menjadi juara baru kami fikir tentang ganjaran yang menanti kami.

“Sejujurnya perjalanan kami masih jauh, kejohanan pun belum bermula. Apa yang penting kami harus meningkat semangat berpasukan kami untuk merealisasikan misi membawa pulang Piala Thomas tahun ini,” kata Wooi Yik selepas sidang akhbar Malaysia Masters 2024.

Kelmarin, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Dr. Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu akan memberi ganjaran berbentuk wang tunai sekiranya skuad negara muncul juara pada temasya dua tahun sekali itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nilai ganjaran terbabit, namun telah memaklumkan kepada pemain yang mengetahui tentang perkara tersebut.

Dalam pada itu, Wooi Yik turut mengakui agak gementar berikutan pertama kali menggalas tanggungjawab selaku kapten pasukan.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab itu dengan bantuan pasangannya, Aaron Chia serta pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk membantu pasukan mengharungi kem latihan pusat.

“Kami bertiga sudah banyak bertanding di kejohanan yang besar. Pengalaman kami sangat berharga jadi kami berkongsi kepada rakan sepasukan terutamanya pemain muda,” katanya.

Skuad lelaki negara bakal membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria pada hari seterusnya dan aksi terakhir menyaksikan Malaysia  bertemu Denmark dalam Kumpulan D. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN