Kelab ‘sakit’ ancam akar umbi

Kelab ‘sakit’ ancam akar umbi

Pasukan Kedah antara yang dibelenggu masalah termasuk berhadapan tindakan oleh FIFA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah kewangan yang membelenggu beberapa kelab bola sepak di negara ini boleh menjejaskan perkembangan ekosistem sukan itu secara holistik terutamanya pembangunan bakat muda di akar umbi untuk tempoh jangka panjang.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, isu kewangan pasukan bola sepak tempatan semakin lama semakin membimbangkan dan berada dalam paras kritikal.

PEKAN RAMLI

“Sebelum ini saya selalu menyebut isu ini sebagai ‘never ending story’ (cerita yang tiada kesudahan) tapi sekarang ia bertukar kepada ‘Sadness story in Malaysian Football’ (Cerita sedih bola sepak Malaysia) kerana isu ini semakin lama ia akan ‘membunuh’ masa depan bola sepak Malaysia.

“Kalau nama Malaysia dalam senarai FIFA pasti kita bangga, namun hakikatnya kita merupakan negara yang teratas terpalit isu culas bayar gaji pemain,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Pekan juga berkata, program pembangunan perlu mempunyai struktur yang berterusan dan berkesinambungan bersama pasukan utama.

“Jika proses ‘sambut menyambut’ itu tidak berlaku maka akan wujudnya ruang terputus dan menyebabkan program pembangunan itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas serta bakat pemain juga tidak berkembang secara progresif.

“Hal ini juga bukan sahaja merugikan bakat pemain malah masa dan juga wang ringgit yang dilaburkan serta tidak cukup ‘pool of talent’ yang besar untuk dipilih mewakili kelab atau skuad kebangsaan,” jelasnya.

Turut senada, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sadek Mustafa yang berkata, industri bola sepak memerlukan sumber kewangan yang stabil bagi mengukuhkan sesebuah kelab bola sepak.

“Senang saya katakan begini, sesebuah kelab bola sepak memerlukan dana yang berterusan selama 10 tahun yang memerlukan penaja yang benar kukuh dari aspek kewangan untuk tujuan itu.

“Melabur 50 juta setahun memerlukan komitmen yang besar dan mencabar.Jadi, dengan trek rekod yang tidak baik yang ada dalam kancah bola sepak negara, gergasi korporat pasti tidak akan masuk dalam industri bola sepak kita,” katanya.

Sebelum ini beberapa kelab yang menaungi pasukan negeri berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal terutamanya menyelesaikan masalah tunggakan gaji sehingga penyertaan mereka tertangguh kerana tidak memenuhi syarat untuk memperoleh lesen kebangsaan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN