ALOR SETAR: Kemelut melanda pasukan Sang Kenari hampir selesai apabila pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya mengumpul 90 peratus dana untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan kakitangan bagi tujuan pelesenan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pihaknya kini hanya perlu memperoleh kira-kira 10 peratus lagi dana untuk menyelesaikan sepenuhnya baki 50 peratus tunggakan tersebut menjelang pukul 5 petang, Sabtu ini.
“Berkenaan liabiliti semasa KDA, kita sudah mencapai peringkat akhir penyelesaian tunggakan kewangan 2023 dan penyelesaian penuh tunggakan sebelum 20 April bagi memenuhi syarat untuk mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.
“Sehingga pukul 3 petang ini, KDA FC berjaya mengumpul dana sebanyak 90 peratus bagi tujuan melunaskan baki 50 peratus hutang gaji yang tertunggak bagi tujuan pelesenan MFL,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Pada 5 April lalu, KDA FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super musim 2024/25 dan denda RM50,000 kerana kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji 2023.
Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, hukuman itu dikenakan selepas pasukan berkenaan gagal mematuhi ketetapan syarat menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji pada 30 Mac lalu.
Badan itu menegaskan, sekiranya Kedah masih gagal membuat pembayaran penuh atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikan pembayaran pada tarikh akhir kelak, Lesen Kebangsaan pasukan itu boleh ditarik balik sekali gus tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024/25.
Pada masa sama, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini membebaskan Sang Kenari daripada sekatan pendaftaran pemainnya susulan kemelut sama sekali gus membolehkan pasukan itu selangkah ke gelanggang Liga Malaysia 2024/2025.
Menurut Mohd Daud, pihaknya optimis baki dana yang diperlukan itu mampu dikumpul daripada hasil jualan produknya seperti pas bermusim dan cenderahati termasuk jersi yang dikeluarkan pasukan itu.
“Di kesempatan ini, kami memohon bantuan peminat dan penyokong untuk bersama-sama membantu melengkapkan jumlah kewangan yang diperlukan sebelum 20 April menerusi skim-skim yang akan ditawarkan seperti penjualan pas bermusim, kad keahlian, jersi pra-musim dan seumpamanya,” katanya.
Di sebalik keyakinan itu, katanya, pengurusan Sang Kenari itu tetap merencanakan pelan lain sekiranya dana tersebut gagal dikumpul dalam masa terdekat demi memastikan pasukan itu tetap beraksi dalam musim baharu ini.
“Ada Pelan B, C dan D. Itu yang kami buat selama ini ada banyak pelan untuk Kedah. Tetapi kita bagi peluang kepada penyokong untuk tunjuk komitmen membantu melengkapkan keperluan. Kita harap mereka langgan semua produk kita. Kita tidak mahukan wang tunai atau derma, itu bukan cara professional. Kita mahu mereka membeli dan membantu pasukan.
“Hidupkan budaya setiap bulan membeli dengan harga RM30 atau RM40. Berdasarkan data yang kita ada, terdapat 20,000 penyokong tegar di Kedah kalau darab dengan setiap bulan beli barangan bernilai RM50 itu sudah membantu,” katanya. – UTUSAN










