FAM bertanggungjawab prestasi hambar B-23

FAM bertanggungjawab prestasi hambar B-23

Scott O'Donell (kiri) bersama Juan Torres semasa kempen Piala Asia B-23 di Doha, Qatar sebelum ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menamatkan kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar menduduki tangga tercorot Kumpulan D.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell berkata, beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai punca kepada skuad muda negara itu pulang tanpa sebarang mata apabila tewas ketiga-tiga perlawanan kepada Uzbekistan 2-0, Vietnam 2-0 dan Kuwait 2-1.

Menurut beliau, aspek kecergasan perlawanan (match fitness) menjadi penyebab utama para pemain terbaik bawah 23 tahun yang dikumpulkan dalam skuad berkenaan gagal memberikan saingan terbaik pada kejohanan yang disertai 16 pasukan terbaik Asia itu.

“Masalah utama dalam skuad Harimau Malaya B-23 ini ialah kekurangan masa permainan atau jumlah perlawanan yang dimiliki oleh setiap pemain terbaik dalam skuad B-23 yang kita ada ini.

“Jika kita lihat menerusi statistik, tak ramai pemain dalam skuad ini yang mendapat minit permainan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super musim lalu. Hanya empat pemain.

“Penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel dengan 2,250 minit bersama Negeri Sembilan FC, Mukhairi Ajmal dengan 1,684 minit bersama Selangor FC, T. Saravanan dengan 1,252 minit bersama Kuala Lumpur City dan Safwan Mazlan dengan 1,063 minit bersama Terengganu FC.

“Selebihnya pemain-pemain lain hanya memiliki minit permainan kurang daripada itu dalam saingan Liga Super 2023,” kata O’Donell.

Kekurangan minit permainan tersebut menurut O’Donell, ditambah pula dengan keadaan semasa yang mana Liga Malaysia sedang berehat panjang sejak Januari lalu sementara menantikan musim baharu 2024/25 bermula 10 Mei depan, sekali gus menyumbang kepada kesan lebih teruk membabitkan aspek kecergasan perlawanan.

“Ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan D iaitu Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait, kesemuanya liga domestik mereka sedang rancak berjalan dan sebagai perbandingan, kita boleh lihat yang para pemain mereka berada pada tahap kecergasan terbaik di sepanjang kempen Piala Asia B-23 2024 ini.

“Sedangkan kita mula berkumpul pada 17 Mac lalu dan pemain-pemain yang bersama skuad senior serta beberapa pemain lain hanya menyertai pasukan, seminggu kemudian.

“Ditambah pula dengan kebanyakan pasukan kelab ketika itu belum memulakan lagi siri latihan pramusim Liga Super menjadikan pemain-pemain yang datang ke kem latihan pusat skuad B-23 negara ini pada tahap kecergasan yang cukup rendah,” ujarnya.

Penstrukturan pertandingan peringkat bawah umur di negara ini telah ditambah baik pada musim 2024.

Format pertandingan-pertandingan tersebut telah ditambah baik oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM bagi saingan musim ini dengan setiap pasukan di Piala MFL akan bermain sejumlah 24 perlawanan, Piala Presiden minimum 14 perlawanan dan maksimum 20 perlawanan manakala Piala Belia minimum 16 perlawanan dan maksimum 22 perlawanan semusim.

Dalam perkembangan sama, O’Donell, beliau bersama-sama Juan Torres, pengendali B-23 kebangsaan akan menyediakan laporan lengkap Piala Asia B-23 2024 untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-Pasukan Kebangsaan FAM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN