KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyenaraikan 30 pemain bagi menyertai latihan fasa kedua skuad hoki kebangsaan bermula hari ini.
Bagaimanapun, daripada senarai berkenaan enam pemain muda itu belum membuat penampilan antarabangsa manakala enam lagi merupakan pemain senior Speedy Tigers.
Mereka adalah Muhammad Fariz Harizan, Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T. Navaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahuul Hrisikesa Thaitchana Muruthi.
Selepas terpilih dalam latihan fasa kedua ini, enam pemain itu dalam misi untuk memburu penampilan antarabangsa sebelum senarai dipendekkan menjadi 18 pemain menjelang Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, bulan depan.
Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata, beliau mahu memberi peluang kepada enam pemain terbabit dan mahu menilai mereka sekurang-kurangnya 25 perlawanan antarabangsa.
“Kebanyakan pemain memang tiada pengalaman dan mungkin perlawanan pertama antarabangsa untuk mereka. Kami bagi mereka peluang secukupnya untuk bermain lebih.
“Daripada awal saya kata, 25 perlawanan antarabangsa secara minimum untuk mereka dan baru kami boleh menilai mereka. Selepas itu kami boleh beri keputusan kepada mereka,” kata Sarjit ketika sidang akhbar bersama pengerusi jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan, di sini, semalam.
Speedy Tigers akan menentang New Zealand pada perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan 1 Mei ini sebelum berentap saingan PSAS di Ipoh bermula 4 hingga 11 Mei.
Dalam pada itu, pengurus baharu Speedy Tigers, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak memberi kata semangat kepada baki 16 pemain yang tidak terpilih ke fasa kedua latihan kem kebangsaan.
“16 nama yang tidak tersenarai ini, saya telah berjumpa dan memberi nasihat kepada mereka (16 pemain). Anda semua bukan tidak bagus akan tetapi perlu berusaha dengan lebih keras.
“Dalam sukan hoki, peluang itu sentiasa terbuka. Anda semua perlu tingkatkan prestasi dan tunjukkan kepada jurulatih kemampuan anda.
“Apa-apa boleh terjadi dan kami harap kecederaan tidak membelenggu pasukan kebangsaan. Andai kecederaan berlaku, 16 pemain ini akan dinilai dan masuk ke dalam senarai semula,” katanya.
30 pemain yang terpilih akan menjalani kem latihan fasa dua selama sebulan sebelum skuad terakhir 18 pemain akan di senaraikan bagi kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (4-11 Mei) dan Piala Negara-Negara FIH di Gniezno, Poland (31 Mei- 9 Jun). – UTUSAN









