Demi Olimpik, Pearly, Thinaah korbankan Piala Uber  

Demi Olimpik, Pearly, Thinaah korbankan Piala Uber  

Pearly Tan-M. Thinaah tidak akan berada dalam senarai skuad wanita pada Kejohanan Piala Uber 2024. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak akan berada dalam senarai skuad wanita pada Kejohanan Piala Uber 2024.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima cadangan barisan kejurulatihan untuk menggugurkan pasangan itu daripada senarai ke kejohanan berkenaan bagi membolehkan mereka melakukan persediaan ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mendedahkan, senarai rasmi skuad Piala Uber belum diumumkan, namun pasangan nombor 13 dunia itu hampir pasti tidak ke kejohanan terbabit.

“Saya boleh katakan 90 peratus mereka tidak akan diturunkan ke Piala Uber. Apa yang saya boleh kata pihak pengurusan bersetuju untuk menggugurkan mereka.

“Saya hanya berfikir secara realistik kerana Pearly-Thinaah boleh menggunakan masa semasa kejohanan itu berlangsung untuk memberi tumpuan sepenuhnya  kepada latihan dan persiapan ke Paris,” kata Rexy ketika latihan di ABM, semalam.

Terdahulu, Rexy memberi bayangan untuk tidak menurunkan beregu wanita nombor satu negara itu dalam saingan Piala Uber, bulan depan.

Pengguguran nama Pearly-Thinaah akan menyaksikan gandingan muda, Teoh Mei Xing menjadi wakil senior dalam skuad wanita negara.

“Berikutan Pearly-Thinaah tidak beraksi, Mei Xin automatik menjadi pemain senior dalam skuad manakala yang lain pemain muda.

“Kita akan lihat dan menilai pemain yang akan beraksi dua acara yang mana mereka ada kelebihan dalam acara beregu atau campuran,” katanya.

Piala Uber akan melabuhkan tirainya pada 27 April hingga 5 Mei depan di Chengdu, China yang mana Malaysia menghadapi laluan sukar bertemu Thailand, Taiwan dan Australia di Kumpulan B.

Selain kejohanan Piala Uber, Pearly-Thinaah akan menghadapi dua cabaran menerusi Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 (9-14 April) dan Malaysia Masters (21-26 Mei). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN