NILAI: Atlet muda berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bakal menerima basikal baharu untuk digunakan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Jurulatih kebangsaan, John Beasley mengesahkan perkara terbabit yang mana pelumba berusia 21 tahun itu akan menggunakan basikal baharu WX-R seperti yang sama digunakan oleh seniornya, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
“Mengenai basikal itu, ia akan diperjelaskan secara lebih terperinci selepas ini kerana (kami) bercadang untuk membuat pelancaran. Izzah akan menggunakan WX-R dalam beberapa minggu lagi,” kata Beasley di Velodrom Nasional, Nilai, kelmarin.
Nurul Izzah sebelum ini mencipta kejutan selepas meraih dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Februari lalu.
Dalam pada itu, Nurul Izzah meluahkan rasa teruja sekali gus menambah semangatnya untuk membuktikan prestasi terbaik di Paris, Julai ini.
“Saya tidak menjangkakan saya akan mendapat basikal baharu sama seperti mereka (Azizulhasni dan Shah Firdaus). Basikal baharu ini mampu meningkatkan semangat saya kerana pernah dinaiki oleh Azizulhasni sebelum ini.
“Saya pernah cuba basikal (WX-R), memang berbeza dan jauh lebih baik berbanding basikal digunakan saya sekarang ini,” katanya
Untuk rekod, pelumba kelahiran Sungai Petani itu menyambung legasi ditinggalkan oleh bekas pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa yang pernah beraksi pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. – UTUSAN











