Bantu negara layak Olimpik 2028 misi Syed Syafiq

Bantu negara layak Olimpik 2028 misi Syed Syafiq

Syed Syafiq Syed Cholan (kiri) kembali menyertai Speedy Tigers selepas memutuskan untuk bersara daripada pasukan itu pada 2022 kerana melanjutkan pelajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar pukulan sudut, Syed Syafiq Syed Cholan kembali daripada persaraannya untuk beraksi semula bersama skuad hoki lelaki kebangsaan.

Syed Syafiq sebelum ini me­ninggalkan Speedy Tigers pada 2022 untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemain pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu antara 30 pemain yang berada dalam senarai fasa kedua kem latihan.

Dia yang masih mengikuti pengajiannya di peringkat sarjana memutuskan untuk kembali menyertai pasukan kebangsaan kerana menganggap urusannya masih belum ‘selesai’.

Menurut pemain pertahanan itu, dia tekad mahu membantu pasukan layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas tidak pernah muncul pada temasya terbesar itu sejak 2000.

“Sarjit mahu khidmat saya dan perkara pertama saya tanya kepadanya apakah objektif dan sasaran negara?

“Beliau (Sarjit) berkata ia adalah program jangka panjang antara empat dan enam tahun untuk membangunkan pemain muda bagi membentuk pasukan yang mantap dan sasarannya adalah untuk layak ke Sukan Asia 2026 dan Sukan Olimpik 2028.

“Peranan saya dalam pasukan adalah untuk membantu pemain muda membina karakter mereka untuk menjadi pemain yang baik.

“Saya tidak tahu berapa lama perkhidmatan saya diperlukan tetapi selagi saya diperlukan, saya akan memberikan komitmen sepenuhnya.

“Saya baru sahaja menamatkan dua semester pengajian saya kerana saya berehat tahun lepas. Saya akan cuba menyesuaikan masa antara pengajian dan latihan kebangsaan,” katanya.

Justeru, Sarjit memerlukan khidmat pemain berusia 29 tahun itu kerana dia boleh menjadi pengganti yang mampan kepada penyerang legenda negara, Razie Rahim yang bersara daripada pasukan kebangsaan, baru-baru ini.

Untuk rekod, Syed Syafiq mempunyai 95 penampilan antarabangsa dan kali terakhir beliau beraksi bersama Speedy Tigers ketika Piala Asia di Jakarta pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN