Tiada alasan, pemain perlu cepat biasakan diri di Muscat

Tiada alasan, pemain perlu cepat biasakan diri di Muscat

PEMAIN skuad Harimau Malaya menjalani rutin latihan harian di Wisma FAM, Kelana Jaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya digesa menyesuaikan diri dengan segera apabila tiba di Muscat, Oman, Ahad ini sebelum turun menentang tuan rumah dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, awal pagi Jumaat depan.

Perubahan perbezaan waktu lima jam antara Malaysia dan Oman ditambah waktu perlawanan bermula 3 pagi waktu Malaysia sebenarnya menimbulkan kebimbangan kepada pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon.

Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, sepak mula yang ditetapkan itu pastinya memberi kesukaran buat barisan pemain biarpun di Oman pada ketika itu pukul 10 malam.

Bermakna, pemain tidak memiliki banyak masa dan mereka perlu segera menyesuaikan diri apabila turun menentang pasukan di ranking ke-80 dunia itu.

“Ia perlawanan sukar. Pasukan di ranking ke- 132 (ranking Malaysia) menentang pasukan ke-80 dunia.

“Bermain di tempat lawan dengan perbezaan waktu. Kami pula tidak pergi awal untuk penyesuaian waktu dan hanya akan pergi ke sana beberapa hari sebelum perlawanan.

“Pemain perlu segera menyesuaikan diri terutama perbezaan waktu apabila perlawanan bermula pada 10 malam (waktu Oman), tapi di sini pula waktu itu jam 3 pagi. Ia cukup sukar, memang sukar,”katanya.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertembung empat hari kemudian di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas aksi di Muscat.

Skuad Harimau Malaya ketika ini menduduki tangga pertama Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan sebelum ini.

Pan Gon berharap anak buahnya mampu membawa pulang satu mata di Muscat bagi mengukuhkan kedudukan sekali gus mengintai slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027.

Berdasarkan format kelayakan, dua pasukan terbaik daripada sembilan kumpulan di pusingan kedua itu akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, selain turut layak automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN