PETALING JAYA: Bukan hanya Thailand ‘musuh’ skuad sepak takraw negara, malah Indonesia, Korea Selatan serta Myanmar turut berupaya menyekat hasrat Malaysia untuk mencipta kejayaan pada Kejohanan Piala Dunia bermula 18-26 Mei ini di Stadium Titiwangsa, di sini.
Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, keutamaan mereka ialah melepasi saingan kumpulan.
“Kita tidak hanya fokus kepada Thailand kerana kita sedar banyak lagi pasukan lain yang bersedia mempersiapkan diri ke Piala Dunia seperti Indonesia, Korea Selatan dan Myanmar.
“Kita akan fokus perlawanan demi perlawanan bagi melepasi peringkat lebih tinggi, itu harapan kem negara kerana kita tak boleh memandang rendah sama sekali kepada pasukan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi keempat dengan 21 negara telahpun mengesahkan penyertaan.
Menurut Ahmad Jais, selaku tuan rumah, pasukan negara tidak memiliki tiket automatik untuk melepasi peringkat kumpulan dan pemain sentiasa diingatkan tanggungjawab beraksi di laman sendiri lebih mencabar.
Katanya, harapan peminat yang ingin melihat kejayaan pasukan negara akan menjadi ujian besar kepada anak-anak buahnya untuk beri aksi terbaik.
“Walaupun kita tuan rumah, ia bukan satu jaminan mempamerkan aksi terbaik kerana kita harapkan mereka sepatutnya mengambil peluang bermain di halaman sendiri.
“Sudah tentu sokongan dan harapan peminat ingin melihat pasukan negara mencipta kejayaan dan ini memberikan tonik tambahan kepada pemain supaya dapat menunjukkan prestasi lebih baik dan mempamerkan kualiti disiplin yang tinggi ketika berdepan mana-mana pasukan,” ujarnya.
Ahmad Jais memberitahu, skuad kebangsaan baru sahaja selesai menjalani latihan kem jati diri di Kem 69 Komando, Ulu Kinta, Perak pada 9-11 Mac dan diharap, program tersebut mampu membantu mempersiapkan pemain dari segi fizikal dan mental bagi menangani tekanan ketika situasi genting dalam gelanggang.
Tambahnya, persiapan skuad kebangsaan juga akan memasuki fasa terakhir Khamis ini di Bukit Jalil dan sebagai persediaan tambahan seramai enam pemain akan dihantar menyertai Kejohanan Princess Cup pada 2-7 April ini di Bangkok.
“Persediaan yang kita lakukan diharap dapat membantu pasukan kejurulatihan mencari gandingan terbaik untuk acara berpasukan, regu serta beregu yang mampu menyumbang pada Piala Dunia,” katanya. – UTUSAN










