KRISIS beras campur, ketiadaan beras tempatan, beras Madani dan terbaharu cadangan pengapungan harga beras menampilkan beberapa naratif polisi yang dibuat tanpa perhitungan mendalam. Naratif ini termasuk:
– Kerajaan menumpukan perhatian kepada menangani masalah beras campur, tiada beras di pasaran serta harga tinggi tetapi tidak kepada ‘penyakit’ paling besar dalam industri padi dan beras negara, iaitu masalah struktur.
-Polisi satu harga untuk beras yang dicampur-campur adalah bertentangan dengan dinamik kepelbagaian pasaran dalam pengeluaran dan penggunaan.
– Tidak menyedari polisi satu harga runcit untuk semua beras akan melengkapkan campur tangan kerajaan ke dalam industri ini ke tahap 100 peratus, mirip pasaran terkawal sepenuhnya dalam ekonomi berpusat seperti China dan Vietnam dalam tahun 1960-an yang hanya menghasilkan kelembapan.
-Menangani hanya isu harga tanpa mengambil kira perkiraan holistik semua elemen dan peserta dalam ekosistem sektor terutama pesawah.
– Penetapan harga tidak berlandaskan kepada hujah keperluan harga ‘berpatutan’ dan ‘adil’ dengan mengambil kira kepentingan peserta utama industri.
– Tidak memberi keutamaan pertama kepada pesawah sebagai tunggak sektor beras negara. Hakikat yang tersisir adalah selagi petani tidak mencapai sara diri selagi itu negara tidak akan capai sara diri.
-Beras hanya mengambil komponen kecil perbelanjaan isi rumah (0.8 peratus) pada 2022, walhal syer perbelanjaan ke atas makanan sihat lain seperti ikan, daging sayur dan buah adalah lebih tinggi dan turut mengalami kenaikan harga tinggi.
– Masalah beras campur boleh diselesaikan dengan mudah melalui penggunaan data raya untuk memantau agihan beras peniaga dari semasa ke semasa, aplikasi pengesanan untuk memantau gred dan kualiti beras, pengguna membayar harga beras yang adil mengikut gred serta kualiti selain penguatkuasaan ketat ke atas peniaga.
Berdasarkan kepada naratif di atas, nyata polisi satu harga untuk beras campur adalah cetek dan berbahaya kerana masalah sistematik sektor ini tidak diambil kira. Lantas, cadangan pengapungan harga tanpa mempertimbangkan masalah struktur tidak akan memberi impak yang disasarkan.
Dari segi konsepnya, pengapungan harga adalah baik kerana harga yang dicapai mencerminkan persetujuan antara pihak pembeli dan penjual berlandaskan interpretasi ke atas dinamik penawaran-permintaan pasaran.
Dalam situasi kurangan, harga akan meningkat lantas mendorong pengeluaran dan lama kelamaan kuantiti jualan akan bertambah sementara harga akan kembali normal. Perkara sebaliknya berlaku apabila wujud lebihan. Namun, logik ini bermakna jika pasaran padi dan beras bebas daripada ketidakcekapan terutama ciri monopoli dan oligopolistik seperti yang ada sekarang ini.
Bererti jika harga mahu diapungkan, penambahbaikan struktur adalah kemestian untuk mencapai impak yang bermakna untuk semua pihak.
Ini memerlukan perubahan seperti import dibuka kepada ramai peserta supaya lebih bersaing dan harga import lebih murah daripada pelbagai sumber, kilang kecil dibenarkan beroperasi supaya persaingan wujud dan mobiliti pesawah terbuka untuk peningkatan pendapatan mereka selain perlesenan dihapuskan serta digantikan dengan pemantauan ketat ke atas kuantiti dan kualiti melalui pangkalan data raya, aplikasi digital pengesan atau kebolehkesanan beras dan padi.
Jika harga diapungkan, maka ia perlu mengambil kira sektor padi dan beras secara holistik sebagai satu sistem yang terdapat elemen saling berkaitan dan bergantungan. Jika harga runcit diubah, impaknya akan terkesan kepada subsektor lain seperti harga kepada pengguna, untung pengilang, pendapatan petani dan lain-lain.
STRATEGI
Dikala harga runcit diapungkan, ia bererti harga akan ikut rentak pasaran dunia. Maka strategi perlu difikirkan untuk memastikan petani menerima faedah daripada kenaikan harga dan dibantu apabila harga turun.
Apabila harga menjunam, langkah penstabilan pendapatan petani perlu dilakukan termasuk meningkatkan subsidi harga padi (mekanisme bukan harga termasuk), tingkatkan dan stabilkan pengeluaran, mengawal import dan eksport, menggalakkan industri berasaskan padi dan beras, stok penimbal serta bayaran defisit kepada petani.
Pengapungan harga beras adalah strategi yang baik tetapi ia perlu dilaksanakan bersama sokongan kepada pesawah. Ini termasuk untuk meningkatkan hasil padi, mengurangkan kos pengeluaran, mengenal pasti mekanisme melindungi petani apabila terjejas pada para harga beras yang rendah selain penggunaan aplikasi digital yang meluas untuk persawahan, pemasaran dan perniagaan.
Tidak perlu kilang besar-besaran lagi di era sekarang sebaliknya hanya kilang bersaiz sederhana atau kecil tetapi pintar amat memandai. Selain itu, pesawah digalakkan untuk menjual beras bagi meningkatkan pendapatan dan kreativiti yang telah lama tertekan.
Reformasi pasaran di tahap sawah perlu dilaksanakan seperti meningkat persaingan dalam beberapa sektor. Ini termasuk agihan baja dibuka kepada koperasi, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan usahawan selain petani padi yang berpengalaman dibenarkan menjadi pembekal benih, menubuhkan skim Satu kampung/koperasi satu bank benih. Semua ini diperlukan untuk memastikan keserentakan bekalan air, benih dan baja.
Selain itu, perlu pastikan juga kategori beras mengikut pelbagai gred dipelihara kerana terdapat pengguna dari golongan miskin, kaya, muda mahupun tua, pelbagai bangsa dan lain-lain. Masing-masing memiliki cita rasa berbeza.
Pada masa sama, Malaysia kaya dengan pelbagai varieti beras terutama di Sabah dan Sarawak. Maka menghadkan kepada satu gred sahaja akan mematikan aset utama negara ini.
Kesimpulannya, masalah padi dan beras merupakan masalah sistemik yang telah bertapak selama 50 tahun. Polisi yang hanya merubah satu aspek sahaja seperti harga tetapi tidak akan membawa impak terjangka selagi masalah struktur tidak dileraikan terutama yang ‘memangsakan’ pemain utama sektor ini untuk sekian lama iaitu pesawah.-UTUSAN
PROFESOR Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad ialah Felo Perunding, Institut Perladangan Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM).










