KANGAR: Perlis United FC (PUFC) sedia bagi memenuhi syarat tambahan sebagaimana ditetapkan Malaysian Football League (MFL) bagi membolehkan Singa Utara layak menerima lesen luar biasa yang bersyarat bagi mengisi slot ke-14 menyertai Liga Super 2024-2025.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, pengurusan Perlis United dalam proses bagi memenuhi syarat-syarat tambahan berkenaan.
Katanya, antara syarat tambahan berkenaan bukti kewangan kelab dan dalam bentuk penajaan.
Ujarnya, antaranya penaja pertama penajaan RM5 juta tersebut juga perlu buktikan duit dimasukkan ke dalam akaun selain membuktikan tiada sebarang hutang.
Katanya, pihaknya perlu menunjukkan bukti Perlis United sudah menandatangani dengan penaja sebelum 15 Mac ini dan bayaran pertama penajaan sebelum 22 Mac.
“Kalau sudah terima (wang penajaan), kemasukkan wang yang pertama itu hendak dilihat. Itu antara syarat-syarat tambahan seperti dimaklumkan dan Perlis United dalam proses ke arah berkenaan,” katanya.
Kelmarin, MFL mengumumkan bahawa Perlis United diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) yang bersyarat bagi mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-2025.
Keputusan tersebut dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendengar permohonan PUFC menerusi cadangan daripada First Instance Body (FIB) yang telah membuat semakan dan penilaian teliti dokumen-dokumen yang diserahkan kelab M3 Amateur Football League (AFL) itu.
Walau bagaimanapun, MFL memutuskan PUFC hanya akan diberikan Lesen Bersyarat Luar Biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan kepada FIB daripada pegawai-pegawai PUFC semasa pembentangan mereka.
MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada PUFC dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana mereka.
Sementara itu, Zamri menzahirkan penghargaan kepada pengurusan Perlis United yang berusaha mencari tajaan termasuk dalam proses bagi menyertai Liga Super berkenaan.
“Ia semua adalah usaha 100 peratus daripada pengurusan Perlis United,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply dalam satu kenyataan di Facebooknya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada MFL kerana memberi peluang kepada PUFC untuk bersaing dalam Liga Super 2024.
“Kami amat bersyukur dan berbesar hati kerana berpeluang menyertai peringkat tertinggi bola sepak Malaysia. Pencapaian ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan, dedikasi, dan kerja keras seluruh pengurusan pasukan, jurulatih, pemain dan kakitangan kelab.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kami, penyokong setia, dan semua orang yang telah menyumbang dalam perjalanan kami ke arah Liga Super. Sokongan berterusan anda telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami,” katanya. – UTUSAN










