KUALA LUMPUR: Seramai 46 pemain yang terpilih dalam skuad hoki kebangsaan perlu menunjukkan prestasi cemerlang dalam merebut slot 18 pemain di akhir pemilihan.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmin Abdul Razak menegaskan, mereka harus memanfaatkan peluang yang diberikan.
Menurutnya, semua pemain tidak perlu memberikan alasan yang mungkin akan menutup peluang keemasan mereka untuk beraksi bersama skuad hoki kebangsaan dalam masa akan datang.
“Saya mahu beri pesanan ringkas sahaja, kamu semua (46 pemain) telah diberi peluang untuk bermain dan wakil untuk kebangsaan.
“Gunakan peluang ini untuk kamu semua bersaing merebut posisi dalam Malaysia. Kita perlu bina pasukan yang terbaik.
“Saya tidak mahu kejadian yang sama berulang seperti dahulu dimana mereka ada masalah peribadi dan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah.
“Sarjit panggil kamu semua disebabkan kamu ada bakat dan jika anda tidak mengambil peluang ini, saya percaya dia (Sarjit) tidak panggil anda lagi,” tegas Ahmad Najmin.
Dalam pada itu, Ahmad Najmin akan memberi sokongan sepenuhnya bersama KHM kepada barisan kejurulatihan dalam merealisasikan pasukan kebangsaan yang terbaik.
“Seperti biasa, barisan kejurulatihan akan mengusulkan cadangan kepada jawatankuasa saya dan langkah seterusnya kami akan meneliti cadangan berkenaan.
“Kami akan memberi 100 peratus sokongan mereka mengenai jelajah di luar negara atau perlawanan persahabatan yang diatur oleh barisan kejurulatihan,” katanya. – UTUSAN










