PETALING JAYA: Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City memiliki tempoh tidak sampai sebulan bagi menyelesaikan baki tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.
Badan pengelola liga itu memberikan ‘talian hayat’ buat kedua-dua pasukan itu untuk melunaskan tunggakan berkenaan dan mereka perlu berusaha menyelesaikan perkara itu sebelum 29 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua pasukan tersebut diminta untuk membuat dua proses pembayaran itu dan tiada lanjutan masa lagi akan diberikan kerana mengambil kira saingan Liga Super 2024/2025 akan bermula pada Mei nanti.
“FIB telah memberikan tempoh masa terakhir kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.
“KDA FC dan KL City diarah untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.
“Tiada lanjutan masa lagi, mereka perlu menyelesaikan pada bulan ini kerana MFL sudah tiada masa untuk menyediakan jadual perlawanan,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Difahamkan KDA FC dan KL City gagal membayar tunggakan gaji melebihi tiga bulan bermula September tahun lalu selepas mendapat kelulusan lesen kebangsaan.
Ketika ditanya risiko bakal dihadapi kedua-dua pasukan ini sekiranya gagal mematuhi tempoh diberikan, KDA FC dan KL City akan dikenakan hukuman.
“Kegagalan untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB,” jelasnya. – UTUSAN










