PETALING JAYA: Kerajaan perlu membuat kajian secara holistik sebelum mengambil keputusan untuk menerima pelawaan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, pelawaan itu disifatkan menarik memandangkan Malaysia mempunyai rekod bersih dalam menganjurkan sukan di peringkat antarabangsa, namun beliau tidak menafikan terdapat pro dan kontra.
“Jika kita memilih untuk menganjurkannya kita seperti bidan terjun. Victoria sudah tarik diri baru nak beri kepada kita.
“Kita ini macam pilihan kedua dan mungkin CGF juga ada membuat pelawaan kepada negara lain. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang tidak berada di tahap terbaik, adakah ini masa yang sesuai untuk kita menganjurkannya.
“Ini bukan kali pertama berlaku sebab sebelum ini Sukan Komanwel 2022 perkara yang sama turut berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada edisi 2022, temasya itu awalnya diberikan kepada Durban pada 2015, namun hak milik penganjuran bandar dari Afrika Selatan itu ditarik semula berikutan masalah kewangan.
Berikutan itu, bidaan dilakukan semula menerusi dana kerjaan British membabitkan persaingan antara Birmingham dan Liverpool yang menyaksikan bandar di tengah England itu dipilih selaku tuan rumah.
Dalam pada itu, Pekan memberitahu meskipun CGF bersetuju untuk memberikan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) bagi menganjurkannya namun itu bukan jaminan.
“Kalau Victoria, Australia yang lebih kukuh daripada segi ekonomi pun menarik diri dan sanggup membayar denda adakah kita lebih berupaya menganjurkannya,” katanya.
Ekoran itu, kerajaan Victoria dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.8 bilion) kepada CGF kerana melanggar kontrak apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula dari 17 hingga 29 Mac 2026. – UTUSAN










