KENAPA kita harus bersusah payah belajar jika kini ijazah sudah tidak lagi dapat menjanjikan pekerjaan yang baik dan gaji yang lumayan? Inilah persoalan sering diperdebatkan dalam kalangan anak muda hari ini.
Hal ini juga dijadikan alasan untuk berhenti mencuba sekiranya keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memuaskan dan tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).
Kalau dahulu ramai yang sanggup mengambil SPM berkali-kali sehingga dapat diterima masuk ke IPT atau naik ke tingkatan enam, namun sejak akhir-akhir ini keadaannya sudah berubah.
Kini, bagi sesetengah golongan anak muda, belajar bukan lagi sesuatu yang dianggap relevan dalam kamus kehidupan. Sebaliknya, belajar dianggap beban yang amat menyusahkan serta hanya menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit.
Apa yang penting bagi mereka hanyalah bagaimana caranya untuk menjana pendapatan tinggi dengan jalan yang mudah dan cepat. Jelasnya, mereka percaya bahawa semua perkara harus dinilai dari segi pulangan material semata-mata.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya. Oleh itu pelbagai hujah diketengahkan untuk membuktikan bahawa tindakan mereka untuk berhenti belajar adalah keputusan yang bijak.
Mereka turut memperkatakan tentang hutang yang terpaksa ditanggung jika mereka menyambung pelajaran ke IPT.
Lebih menguatkan alasan mereka ialah apabila syarikat-syarikat ternama dunia seperti Microsoft tidak lagi memandang ijazah sebagai syarat utama ketika mengambil pekerja.
Justeru, menuntut ilmu menjadi hal yang semakin tidak signifikan, sehinggakan ramai pelajar sekolah dengan bangga mengaku bahawa mereka memang tidak suka belajar.
Persoalan seterusnya ialah, apakah yang diharapkan anak muda apabila melangkah masuk ke universiti?
Waktu dahulu, ramai yang sanggup bergolok-gadai dan berkelana jauh mencari guru demi menuntut ilmu. Tetapi malangnya, kini ramai yang lebih mementingkan nilai komersial segulung ijazah daripada ilmu yang sepatutnya kita timba di universiti.
Zaman yang berubah turut membawa kepada perubahan nilai dalam kehidupan masyarakat.
Kita diasak dengan iklan dan promosi pelbagai jenis barangan yang sebenarnya tidak kita perlukan. Sehinggakan dalam kehidupan nyata pada hari ini, ramai yang terkeliru antara keperluan dan kehendak hati lantas mengakibatkan pembelian barang tidak perlu.
Pengaruh kuat media sosial ke atas kehidupan kita telah menjadikan ia satu landasan untuk memaparkan kemewahan hidup pempengaruh di media sosial, artis serta usahawan.
Paparan barangan mahal daripada jenama terkenal, makanan yang enak dan mahal-mahal serta percutian mewah di luar negara mencetuskan keinginan di hati pengikut mereka untuk turut menikmati gaya hidup yang sama.
Mana mungkin semua ini dapat mereka nikmati dalam waktu yang singkat, jika tidak turut sama terjun ke dunia pempengaruh ataupun menjadi agen syarikat usahawan tertentu yang menjanjikan pendapatan lumayan setiap bulan hasil jualan produk?
Ada yang memberi alasan bahawa Bill Gates dan Steve Jobs juga tidak habis belajar. Benar, pendidikan formal bukanlah segala-galanya. Tetapi kita harus sedar bahawa mereka hanya tidak menyambung pelajaran secara formal, namun mereka tidak pernah berhenti belajar khasnya tentang sistem komputer.
Kita harus bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sebijak Bill Gates dan Steve Jobs? Mampukah kita melakukan apa yang telah mereka lakukan dan melalui segala cabarannya sehingga berjaya memperoleh kejayaan sehebat itu?
Sekiranya kita secara semula jadi tidak sehebat Bill Gates dan Steve Jobs, maka kita memerlukan pendidikan untuk membantu kita menjadi insan yang lebih bermutu. Salah satu cara termudah ialah pendidikan formal di universiti.
Walaupun ada syarikat ternama seperti Microsoft yang tidak mementingkan ijazah, namun itu bukan bermakna mereka memilih pekerja secara sembarangan.
Yang dikecualikan mereka hanyalah sijil formal tetapi bukannya ilmu pengetahuan serta kebolehan itu. Mereka hanya memilih individu bijak, kreatif, mahir serta berilmu dalam pelbagai bidang berkaitan kerja yang ditawarkan.
Jika kita sekadar berhenti belajar kerana tidak berminat dan tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan, maka kita bukanlah calon yang akan mereka pertimbangkan.
Pendidikan peringkat universiti berbeza berbanding peringkat sebelumnya kerana kita dilatih bukan hanya untuk memahami sesuatu subjek, tetapi kita juga harus boleh menerapkan apa yang kita pelajari untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan sebenar.
Kita harus mampu membuat penyelidikan sendiri, memberi impak ketika menyampaikan tugas, dan bekerjasama secara berkumpulan. Hal-hal ini begitu dititikberatkan di IPT, terutamanya yang menggabungkan elemen keterlibatan masyarakat.

PERSAINGAN
Kita juga harus melengkapkan diri untuk bersaing di peringkat global, kerana dalam dunia tanpa sempadan ini saingan bukan lagi setakat sesama kita sahaja.
Saingan seterusnya ialah mesin dan kecerdasan buatan (AI) yang jauh lebih cekap dan murah daripada menggaji manusia.
Kelebihan manusia berbanding AI ialah perasaan ihsan dan sikap manusiawi serta dapat memahami perasaan orang lain dengan lebih baik. Kelebihan ini harus diasah dan diperkembangkan supaya manusia kembali kepada fitrahnya.
Pengalaman menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuka mata saya kepada banyak perkara baharu dan mengajar saya erti sebenar turun ke lapangan bersama-sama masyarakat melalui konsep komuniversiti yang dibawa.
Kemahiran insani yang dipelajari amatlah berharga dan dapat membentuk suatu ekosistem kehidupan yang lebih baik serta menjadikan kita jauh lebih ke hadapan berbanding mesin dan AI.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










