PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu berjuang habis-habisan supaya tidak terlepas mata menjelang aksi menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, 26 Mac ini.
Aksi di hadapan penyokong sendiri itu akan berlangsung lima hari selepas skuad kebangsaan bertandang ke Oman dengan pasukan kendalian Kim Pan Gon ketika ini mendahului Kumpulan D menerusi enam mata daripada dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.
Seruan itu disuarakan pemain tengah, Nooa Laine berkata, keputusan positif menjadi buruan skuad kebangsaan bagi memastikan peluang mereka mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama direalisasikan.
“Sudah tentu kita mahu kemenangan apabila beraksi di laman sendiri. Saya rasa kita berada dalam keadaan baik dan perlu bekerja keras untuk mencatat keputusan positif,” kata Nooa.
Seandainya Malaysia berjaya mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, skuad negara juga turut layak secara merit ke Piala Asia 2027 buat kali kedua berturut-turut.
Ketika ditanya mengenai jangkaan tinggi diletakkan ke atasnya selepas mengambil kira pengalaman beraksi di Eropah sebelum ini pemain berdarah kacukan itu menjelaskan tidak terlalu tertekan dengan perkara itu dan fokus utamanya adalah memberi aksi terbaik kepada pasukan.
“Ya sudah tentu (jangkaan tinggi) tetapi ada ramai lagi pemain senior dalam pasukan ketika ini dan mereka sudah berada lebih lama dalam pasukan ini berbanding saya.
“Fokus saya adalah untuk melakukan yang terbaik dan semoga kehadiran saya dapat memberikan perbezaan dalam pasukan ini,” ujarnya. – UTUSAN










