PETALING JAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menolak cadangan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026 malah menyifatkannya sebagai tindakan melulu berikutan temasya itu bakal diadakan dalam tempoh dua tahun sahaja lagi.
Khairy berkata, mana-mana negara memerlukan masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk melakukan persiapan seperti menaik taraf venue pertandingan, mendapatkan penajaan serta menyediakan infrastruktur.
“Sukan Komanwel bukanlah acara sukan yang penting atau utama.
“Jika dibandingkan dengan temasya sukan yang lain, ia jauh ketinggalan berbanding Sukan Olimpik atau pun Sukan Asia daripada segi penyertaan, pendedahan dan pulangan.
“Oleh itu, potensi untuk memperoleh keuntungan daripadanya dan mendapat manfaat sampingan bagi negara penganjur akan menjadi minimum,” kata Khairy kepada AFP.
Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan Malaysia untuk menggantikan Victoria sebagai penganjur Sukan Komanwel 2026.
CGF turut memberi peruntukkan sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia sekiranya bersetuju untuk mengadakan temasya itu.
Victoria yang sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan temasya itu telah menarik diri dengan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (anggaran RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (anggaran RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026. – UTUSAN










