Belum masa bersara, mahu bermain untuk Malaysia - Faizal

Belum masa bersara, mahu bermain untuk Malaysia – Faizal

PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraikan kemenangan treble selepas menjuarai Piala TNB 2024 menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang sensasi negara, Faizal Saari belum puas menabur bakti kepada skuad hoki kebangsaan dan bersedia bermain jika khidmatnya masih diperlukan sekali gus melupakan hasrat untuk bersara.

Faizal,33, berkata, kehadiran Sarjit Singh selaku ketua jurulatih Speedy Tigers yang baharu antara faktor utama dirinya menangguhkan sementara hasrat untuk berundur daripada skuad negara.

Jelasnya, Sarjit bukan individu baharu dalam perjalanan karier Faizal kerana dia pernah dibimbing jurulatih itu ketika mengendalikan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) antara tahun 2014 sehingga 2016.

“Saya ada berhubung dengan ‘coach’ Sarjit. Saya memang tak ada masalah (dengannya) dan saya rasa akan teruskan jika kudrat saya diperlukan.

“Beliau pernah menjadi jurulatih THT pada 2014, 2015 dan 2016, tetapi untuk peringkat antarabangsa, saya belum pernah ada pengalaman dilatih olehnya.

“Saya harap nama saya terpilih untuk mewakili Malaysia. Memang saya ada bagi bayangan untuk bersara, tapi bila Sarjit dilantik dan dia juga salah seorang jurulatih pilihan saya, saya rasa perlu terus berjuang untuk Malaysia serta untuk dirinya.

“Saya rasa dia pernah letak kepercayaan yang tinggi kepada saya, jadi saya perlu buktikan kemampuan di atas padang,” katanya ketika ditemui media selepas final Piala TNB yang menyaksikan THT muncul naib juara.

Dalam aksi final itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakar kemenangan 4-2 untuk melengkapkan kejuaraan treble musim ini apabila turut memenangi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Pada 3 Mac lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan perlantikan Sarjit sebagai ketua jurulatih skuad hoki negara yang baharu bagi menggantikan tempat A Arul Selvaraj dengan kontrak dua tahun.

Bekas pemain skuad negara itu pernah menerajui pasukan kebangsaan dari Januari 2007 hingga Disember 2008 dan turut melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Ujian pertama bakal dilalui Sarjit adalah di saingan Piala Sultan Azlan Shah yang bermula 4 Mei ini di Ipoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN