PETALING JAYA: Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan kejayaan Harimau Malaya membelasah Nepal 5-1 dalam aksi persahabatan semalam tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur.
Kata Wan Jamak, kekuatan sebenar Malaysia tidak diuji berikutan lawan mereka berada di kedudukan ke-175 berbanding Harimau Malaya di tangga ke-132 dunia pada aksi yang berlangsung di Stadium Mini UiTM Shah Alam, semalam.
“Pada saya, keputusan bukan penentu segala-galanya. Itu lebih nak beritahu pasukan mana yang menang dan kalah. Kita tidak boleh jadikan perlawanan itu sebagai penentu kerana saya bimbang perlawanan itu tidak setanding dengan pasukan negara.
“Saya bukan mahu memperlekehkan Nepal tetapi kita kena berfikir secara realistik,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Pada aksi tersebut, Malaysia memperoleh dua gol pertama menerusi Darren Lok dengan satu daripadanya hasil sepakan penalti. Stuart Wilkin dan Daniel Ting masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-46 dan minit ke-48.
Gol kelima negara hadir menerusi Ajmal Mahadi pada minit ke-135 dan gol tunggal Nepal dijaringkan oleh Sameer Tamang pada minit ke-68.
Perlawanan tersebut berlangsung selama 140 minit dengan dibahagikan kepada empat separuh masa.
Dalam pada itu, Wan Jamak berkata, perlawanan menentang Nepal menjadi platform terbaik buat jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon dalam merencana jentera serangan pasukan selain mencari kombinasi pemain.
“Aksi tersebut berlangsung selama empat separuh masa dan mungkin jurulatih nak cuba pemain di posisi tertentu yang dirasakan bersesuaian. Pasukan kejurulatihan mesti tahu apa yang mereka mahukan.
“Persiapan pasukan sudah lebih satu minggu jadi saya percaya barisan jurulatih sudah dapat merencana taktikal pasukan serta mendapatkan kecergasan pemain,” katanya. – UTUSAN










