KUALA LUMPUR: Pemanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi terlepas peluang merangkul pingat emas pada Kejohanan Memanah Kebangsaan 2024, semalam selepas tewas dalam saingan separuh akhir acara recurve individu.
Dalam kejohanan selama empat hari yang akan berakhir Ahad ini, Ariana yang juga akan membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini tunduk kepada rakan skuad kebangsaan, Nurul Azreena Mohamad Fazil.
Ariana tewas kepada lawan yang lebih senior itu dengan kiraan 4-6 selepas bertarung sengit sepusingan 27-29, 27-22, 27-28, 26-23, 26-27.
Kekalahan tersebut menyaksikan penuntut Kejuruteraan Mekanikal di German-Malaysian Institute (GMI), Selangor itu berpuas hati dengan gangsa selepas menyingkirkan seorang lagi pemanah kebangsaan, Syaqiera Mashayikh dalam kiraan 6-5, setelah diheret ke aksi penentuan menerusi keputusan 10-8.
Ariana yang ditemui selepas itu berkata, dia bergelut mencari sasaran terbaik dengan cuaca yang terlalu panas dan angin kencang sehingga mengganggu tumpuannya.
“Saya memang kurang berpuas hati dengan persembahan saya, hari ini, (semalam), tetapi, sekurang-kurangnya saya telah kenal pasti apa kesilapan yang tidak sepatutnya saya lakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pemanah berusia 19 tahun itu memberitahu, kejohanan kebangsaan itu merupakan pertandingan pertamanya selepas berehat selama dua bulan.
Bagaimanapun, atlet berasal dari Kuala Lumpur itu menjelaskan, dia tidak bimbang dengan keputusan tersebut kerana yakin mampu bangkit sebelum berangkat ke China bagi menyertai Piala Dunia Shanghai, April ini.
“Piala Dunia di Turki merupakan kejohanan terakhir untuk rakan sepasukan saya yang lain merebut tempat ke Sukan Olimpik dengan sasaran kami ialah mara ke final acara berpasukan lelaki dan wanita kerana jika berjaya berbuat demikian kesemua kami akan ke Paris,” ujar Ariana.
Sementara itu, dalam aksi final Ahad ini, bakal menemukan Nurul Azreena dengan wakil Wilayah Persekutuan, Alia Qursyiah Mazlan.
Alia beraksi cemerlang apabila membenam Syaqiera 6-2 dalam satu lagi separuh akhir.
Bagi saingan individu recurve lelaki, pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli menepati sasaran mara ke final dan bakal berdepan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi.
Pemanah Sabah, Quik Chern Xin yang tewas kepada Zarif pada separuh akhir untuk gangsa setelah mengalahkan Shazremil Hariz Ahmad Hafiz dari Wilayah Persekutuan 7-1. – UTUSAN










