Apa bukti saya campur tangan urusan pemain NSFC - Aminuddin

Apa bukti saya campur tangan urusan pemain NSFC – Aminuddin

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tiada bukti mengaitkannya mencampri urusan kontrak pemain Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC).

Beliau menegaskan, tiada bukti untuk mengaitkan dirinya terlibat dalam urusan kontrak pemain ketika pasukan NSFC kini di bawah pentadbiran dan pengurusan baharu.

“Jangan buat fitnah terhadap saya, apa bukti saya campur tangan dalam urusan pemain, saya harap dengan ada pengurusan, pentadbiran dan exco baharu, akan berjalan dengan baik dan teratur selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menteri Besar dalam pada itu berkata, sumbangan kewangan yang telah diberikan kerajaan negeri kepada NSFC sebelum ini sewajarnya dapat meningkatkan mutu permainan pasukan itu.

“Satu ringgit duit rakyat yang kita beri kepada NSFC adalah supaya dapat dibelanjakan dengan betul dan meningkatkan mutu permainan bola sepak Negeri Sembilan.

“Ada pasukan yang lebih rendah peruntukan tetapi lebih berjaya berbanding Negeri Sembilan tetapi kita lebih sikit tetapi tidak ke mana, itu yang harus kita persoalkan, bukan persoalkan saya, saya minta jangan fitnah saya,” katanya.

Terdahulu sebuah media melaporkan bekas ketua pasukan NSFC, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak mengumumkan persaraannya sebagai pemain selepas kontraknya tidak disambung pasukan itu bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang akan bermula pertengahan tahun ini.

Menerusi video yang tular, Mohamad Zaquan turut mendakwa keputusan tersebut dibuat NSFC selepas Menteri Besar tidak mahu kontraknya tidak disambung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan bekas penyerang kebangsaan itu yang mengaitkan kedudukannya dengan pemimpin yang tiada kena mengena dengan pengurusan NSFC sebagai tindakan yang tidak matang.

Beliau juga menjelaskan, keputusan untuk tidak menyambung kontrak Mohamad Zaquan setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk usia pemain itu yang sudah berumur 37 tahun dan rekod kecederaannya.

“Beliau (Mohamad Zaquan) berumur 37 tahun dan setiap slot pemain kami sangat berharga, memandangkan kekangan kewangan, peluang dan sumbangan sebagai pemain pasti tidak dapat dimaksimumkan.

“Memandangkan beliau memiliki rekod lima kali kecederaan ACL, pastinya ini satu risiko bagi kewangan kelab dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN