PETALING JAYA: Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa selepas meraih gangsa keseluruhan wanita pada Kejohanan Moomba Masters 2024 di Melbourne, semalam.
Aaliyah yang berhasil membuat penampilan ke-11 dalam kejohanan terbabit berjaya mengumpul 2215.25 mata secara keseluruhan.
Menerusi laman sosial Facebook milik bapanya yang juga juga jurulatih beliau, Hanifah Yoong, Aaliyah berkongsi reaksi pingat yang diraih semasa seminggu kejohanan itu berlangsung.
“Saya sangat teruja untuk mendapat tempat ketiga podium keseluruhan. Untuk realistik masa untuk saya naik podium dalam helah atau lompat hanya boleh berlaku jika latihan saya secara intensif.
“Akan tetapi saya tidak mampu melakukannya sebanyak itu dalam masa 6 bulan latihan kerana pengajian universiti dan peperiksaan saya.
“Saya sudah tentu akan terus melakukan yang terbaik dan mensasarkan menjadi antara atlet ski air peringkat teratas dunia dalam masa terdekat,” katanya.
Pada kejohanan itu, peluncur dari Amerika Syarikat, Aliaksandra Danisheuskaya meraihi pingat emas dengan 2,911.11 mata diikuti atlet New Zealand, Sade Ferguson yang mengumpul 2,477.89 mata.
Walau bagaimanapun, Aaliyah terlepas podium dalam acara jump terbuka wanita selepas menamatkan saingannya di tempat kelima menerusi lompatan 44.5 meter serta keenam dalam acara tricks dengan 5,030 mata. – UTUSAN










