KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh telah mengenal pasti 18 daripada 46 pemain bagi fasa kedua kem latihan bulan depan.
Bagaimanapun, beliau berdepan dengan keputusan sukar susulan pemilihan pemain ke peringkat seterusnya kali ini akan menjadi sangat kompetitif.
Kesemua pemain terbabt yang sedang menjalani kem latihan sehingga 30 Mac ini akan disenarai pendek menjadi 30 pemain sahaja pada 1 April ini.
“Sambutan kehadiran sangat baik. Banyak persembahan yang memberangsangkan daripada pemain, memandangkan ini adalah kali pertama mereka berkumpul selepas berakhir Liga Hoki Malaysia (MHL).
“Walaupun masih terlalu awal, kami telah mengenal pasti 18 pemain yang akan masuk ke dalam skuad 30 orang. Masalahnya sekarang adalah memilih baki 12 pemain yang akan membentuk senarai akhir 30 pemain.
“Setiap pemain mempunyai peluang yang sama. Setakat ini, kami hanya mengenal pasti yang berpotensi. Pemilihan masih dibuka. Siapa baki 12 pemain adalah persoalan yang sangat mencabar,” kata Sarjit.
Seramai 30 pemain yang terpilih pada awal April akan menjalani kem latihan fasa dua selama sebulan sebelum skuad terakhir 18 pemain dimuktamad bagi Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah pada 4-11 Mei dan Piala Negara-negara FIH di Gniezno, Poland (31 Mei- 9 Jun).
Dalam pada itu, Sarjit menegaskan, Speedy Tigers mempunyai banyak kelebihan jika mereka boleh bermain di pelbagai posisi lain atas padang.
“Saya mahu pemain yang boleh bermain lebih daripada satu posisi. Itulah keperluan dalam hoki moden hari ini. Jika mereka pemain tengah, mereka perlu mudah untuk bermain di posisi lain juga. Itu yang kami mahu pemain yang memenuhi keperluan ini.
“Kami juga mempunyai ramai pemain muda dan masih terlalu awal untuk menilai. Seperti yang saya katakan, masalahnya ialah memilih 12 pemain terakhir. Itu akan menjadi kerja yang sukar. Ia tidak akan mudah,” katanya. – UTUSAN









