KUALA LUMPUR: Menjadi wakil tunggal Malaysia dalam sukan terjun di Temasya Olimpik Paris, Bertrand Rhodict Lises sanggup berkampung di luar negara berseorangan dalam usahanya memburu keputusan terbaik buat negara di temasya terbesar itu Julai ini.
Rhodict menyedari bahawa sudah tidak mempunyai banyak masa dan latihan di luar negara sangat diperlukan untuk meningkatkan darjah kesukaran dalam terjunan bagi membolehkan dia bersaing dengan penerjun yang jauh berpengalaman.
Lokasi yang menjadi pilihan untuk Rhodict ketika ini adalah London, Amerika Syarikat (AS) dan Mexico.
“Berlatih berseorangan di luar negara sesuatu yang baharu. Tapi saya kena hadapinya kerana saya pergi berseorangan dan saya kena tempuh.
“Jika boleh saya mahu ke London kerana ia mudah untuk saya ke Paris dan perbezaan waktu tidak banyak beza.
“Saya juga boleh berlatih bersama pasukan Britain di sana. Apa yang boleh saya katakan ketika ini saya cuma buat terbaik untuk perbaiki ranking kerana masih muda dan banyak lagi Olimpik menanti,” kata penerjun berusia 18 tahun itu.
Rhodict menjadi satu-satunya penerjun negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 10m platform lelaki selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, tahun lalu.
Sejak Olimpik 2000, Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga wakil sukan terjun manakala edisi London 2012 dan Rio 2016 masing-masing enam dan tujuh penerjun.
Begitupun, kemerosotan dalam kem terjun menyaksikan penyertaan berkurangan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini. UTUSAN










