LONDON: Lando Norris percaya dia mampu membantu pasukan McLaren menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini selepas beranggapan Max Verstappen dan pasukan Red Bull boleh dikalahkan pada musim 2024.
McLaren merupakan pasukan yang paling hampir memberi saingan kepada Red Bull tahun lalu selepas mempamerkan persembahan memberangsangkan sejak pertengahan musim dengan Norris berjaya menaiki podium sebanyak tujuh kali.
Bagaimanapun, pelumba berusia 24 tahun itu sedang dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Red Bull atau Mercedes selepas penghijrahan Lewis Hamilton ke pasukan Ferrari pada 2025.
Pun begitu, Norris telah memberikan komitmennya untuk kekal bersama McLaren selepas menandatangani kontrak baharu bulan lepas yang akan mengikatnya dengan pasukan Britain itu untuk tiga musim lagi.
Red Bull yang sukar dicabar pada musim lalu dengan 21 kemenangan daripada 22 Grand Prix berharap kepada juara dunia tiga kali, Verstappen yang menaiki podium sebanyak 19 kali.
Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran jentera McLaren 2024, Norris berkata: “Jika kamu bertanya apakah Red Bull boleh dikalahkan? Saya kata ya.
“Kita perlu yakin sebab musim lepas kami begitu hampir dengan mereka dan ada sesetengah perlumbaan kami menewaskan mereka.
“Bolehkah kita menewaskan mereka selepas ini? Ia akan menjadi satu cabaran dan sukar berdasarkan persembahan mereka tetapi saya optimistik.”
Norris akan berpasangan dengan Oscar Piastri yang turut menunjukkan peningkatan memandu jentera MCL38.
Malah, Ketua Eksekutif McLaren, Zak Brown berkata, beliau sangat realistik mengenai peluang pasukan itu pada musim ini. – AFP/UTUSAN










