Kemerosotan prestasi Pearly-Thinaah membimbangkan

Kemerosotan prestasi Pearly-Thinaah membimbangkan

Pearly Tan-M. Thinaah yang berada dalam program Road To Gold (RTG) tunduk kepada Lanny-Ribka yang menghuni ranking ke-30 dunia 14-21, 21-18, 15-21. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Apa yang tidak kena dengan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah?

Pasangan No. 14 dunia itu terus dilanda kemeruduman prestasi sejak musim 2024 bermula dan semalam, mereka tewas mengejut kepada gandingan kurang ternama Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam, semalam.

Pearly-Thinaah yang berada dalam program Road To Gold (RTG) tunduk kepada Lanny-Ribka yang menghuni ranking ke-30 dunia 14-21, 21-18, 15-21.

Beregu itu yang diletakkan harapan untuk meraih mata penting Malaysia, turut membayangi kekalahan skuad wanita yang tumbang 0-3 kepada Indonesia dan sekali gus, gagal mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir pada pertandingan itu, dua tahun lalu.

Selain Pearly-Thinaah, Malaysia yang menurunkan dua pemain muda dalam aksi perseorangan iaitu K. Letshanaa dan Wong Ling Ching turut terkandas dalam perlawanan yang berlanjutan lebih sejam untuk kedua-dua pertemuan.

Letshanaa tunduk kepada Putri Kusuma Wardani 12-21, 21-18, 13-21 manakala Ling Ching tumpas di tangan Ester Nurumi Tri Wardoyo 21-14, 15-21, 16-21.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui, kepincangan daripada permainan Thinaah telah menyumbang kepada kekalahan kepada beregu Indonesia.

“Pergerakan Thinaah tidak lancar dan saya melihat dia terlalu negatif, sudah tentu sebagai pemain, Thinaah mahukan kesempurnaan, tetapi kadang kala dalam kehidupan ini kita bagus dan kadang kala tidak.

“Thinaah seharusnya bisa menangani masalah tersebut dengan pengalaman yang dia ada, dan Indonesia pula melihat kekurangan itu sebagai peluang mereka.

“Sebab itu kita melihat bulu tangkis asyik terarah kepada Thinaah yang berada dalam keadaan tertekan dan lawan juga tahu Thinaah tidak bahaya, jadi, sasarannya hanya kepada dia seorang,” kata Rexy ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tamat.

Menurut Rexy, Indonesia tidak menurunkan pasukan penuh dan kekuatan mereka boleh dikatakan sama rata dengan Malaysia berbanding China serta Jepun yang membawa beberapa pemain utama.

Beliau berkata, walaupun terkandas di suku akhir, masih ada petanda positif terutama di sektor perseorangan yang mempamerkan peningkatan prestasi dengan Ling Ching dan Letshanaa berhasil mengheret lawan sehingga ke rubber set. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN