JATUH cinta memang tidak boleh diduga arahnya, namun seseorang itu boleh mengawalnya.
Sebagaimana seseorang perempuan itu jatuh cinta dengan lelaki berstatus suami orang, ia biasa terjadi, namun seseorang itu boleh memutus untuk meneruskan atau sebaliknya.
Jika memilih untuk meneruskan, jangan menyesal di kemudian hari. Paling utama mendapatkan pandangan dan restu daripada ibu bapa.
Walaupun ia bukan perkara wajib, tetapi sebagai anak kita dituntut agar berbuat baik kepada orang tua dan tidak sesekali membelakangkan mereka terutamanya dalam soal memilih jodoh.
Pun begitu, atas alasan cinta ada anak-anak yang sanggup menolak ke tepi pandangan keluarga terhadap pasangan mereka.
Bagi mereka, pasangan yang dipilih itulah yang terbaik dan sebab itulah terjadinya perkahwinan tanpa restu orang tua.
Mereka memilih berkahwin secara ‘senyap-senyap’ dan tahutahu sudah pun bernikah dengan pilihan hati.
Minggu ini saya kongsikan kisah Sara (bukan nama sebenar) yang mempunyai pengalaman berkahwin tanpa restu keluarga.
Sara yang saya temui baru-baru ini mengakui tidak berniat membuka pekung sendiri, tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada anak-anak gadis di luar sana.
Terutama bagi yang sedang dan merancang untuk ‘jatuh cinta’ dengan suami orang.
Kata wanita berusia pertengahan 30-an itu, dia benar-benar menyesal dengan kehidupan yang terpaksa dilalui hari ini.
“Hanya kerana mengejar cinta suami orang, saya sanggup menyisihkan keluarga, terutama kakak dan abang ipar yang menjaga saya sejak kecil.
“Disebabkan tidak mendengar nasihat mereka, kehidupan saya berakhir begini,” ujarnya sedih.
Menyingkap cerita, kata Sara selepas kematian kedua ibu bapa akibat kemalangan jalan raya, dia yang ketika itu berusia 15 tahun dijaga oleh kakaknya, Suraya dan abang iparnya, Amirul, (bukan nama sebenar).
Suraya dan Amirul ketika itu baru beberapa bulan berkahwin. Awalnya, kata Sara dia agak sukar untuk menerima kenyataan kehilangan kedua ibu bapa serentak.
Namun, pada titik tertentu, dia harus menerima hakikat bahawa kakak dan abang iparnya kini bertanggungjawab ke atasnya.
Ditatang bagi minyak yang penuh, begitulah layanan kakak dan abang iparnya terhadap Sara. Kasih sayang kakak dan abang ipar terhadapnya tidak pernah berbelah bagi, apalagi mereka tidak dikurniakan anak sendiri.
Apa sahaja yang dikehendaki Sara cuba dipenuhi Suraya dan Amirul.
Cukup kasih sayang, makan pakai dan diberi pendidikan agama serta duniawi.
Keputusan cemerlang yang diperoleh di peringkat menengah juga melayakkan Sara menyambung pengajian ke universiti.
Rezeki Sara juga lancar. Selepas tamat pengajian, dia ditawarkan bekerja di salah sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara.
Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan. Sehebat manapun Suraya dan Amirul mengatur masa depan Sara, mereka tidak terlepas daripada ujian.
Suraya mula diuji dengan dengan rasa sakit dan kesedihan apabila Sara mula berubah sikap selepas melangkah ke dunia pekerjaan.
Perkenalan Sara dengan Munir (bukan nama sebenar), rakan sepejabatnya yang berstatus suami orang, mengubah sikapnya 360 darjah.
Sara yang dididik dengan sopan-santun sudah berani meninggikan suara dengan kakak dan abang iparnya.
Ini kerana mereka tidak merestui hubungannya dengan Munir.
Tindakan pertama sebagai tanda protes adalah dengan berpindah keluar dari rumah kakak dan abang ipar.
Sejak keluar rumah dan tinggal berasingan, hubungan Sara dengan kakak dan abang ipar semakin renggang.
Jangankan bertanya khabar, jauh sekali datang menziarahi. Dek kerana cinta, Sara tetap dengan keputusannya memilih Munir dan berkahwin di sempadan.
Benarlah seperti kata orang perkahwinan tanpa restu, bahagianya seketika, deritanya berpanjangan.
Memasuki enam bulan perkahwinan, Sara mula berasa tidak selesa dengan perkahwinan yang dibina.
Ini kerana, Munir yang berjanji untuk berlaku adil kepada kedua-dua isteri, tidak mengotakan janji.
Sepanjang tempoh 10 tahun hidup berumahtangga, ternyata Munir lebih mengutamakan keluarga isteri pertama.
Setahun, dua Sara mampu bertahan, namun masuk tahun ketiga, Munir seolah-olah mahu mengambil kesempatan terhadap kebaikannya.
“Ternyata benar sekali apa yang kakak beritahu saya bukan senang berkongsi dengan suami orang. Makan hati sudah pasti,” kata Sara.
Menurut Sara, dia pernah menyuarakan hasrat kepada Munir agar mereka berpisah sahaja, namun Munir enggan melepaskannya.
Sehingga ke hari ini, Sara terus diulit kesunyian. Ada suami seperti tiada. Tambahan pula selama sedekad berkahwin mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Mengakhiri perbualan lewat petang itu, Sara sempat menitip pesan sekiranya seseorang perempuan itu memilih untuk bercinta dengan suami orang, mental dan fizikal mereka perlu kuat.
Suami bukan hak milik mereka seorang.
Yang pasti 365 hari dalam setahun perlu dibahagi dua. Dihitung, dicampur tolak, dengan sakit pening, kecemasan tidak mungkin hari dapat diberi seadilnya.
Tidak seperti memiliki pasangan yang masih bujang, masa lebih banyak bersama.
Ditanya bagaimana hubungannya dengan kakak dan abang iparnya ketika ini, kata Sara dia masih belum bersedia bertemu dan meminta maaf daripada kedua-duanya.
“InsyaAllah, semoga Allah izinkan kami untuk bertemu,” ujarnya penuh harapan.
Kisah Sara perlu dijadikan pengajaran. Walaupun kakak dan abang iparnya hanya pengganti ibu bapa sebenar, mereka tetap insan yang perlu dihormati.
Benar, restu ibu bapa bukanlah syarat sah perkahwinan namun mengabaikan perasaan orang tua pasti akan melukakan hati mereka.
Sedangkan, sebagai anak perlu mengutamakan ibu bapa kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas taat Allah SWT dan Rasul.
Ini sebagaimana Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. (Riwayat at-Tirmizi).










