Jaringan Faisal dinobat Gol Terbaik Piala Asia 2023?

Jaringan Faisal dinobat Gol Terbaik Piala Asia 2023?

FAISAL Halim memerhatikan bola rembatannya menuju ke gawang gol Korea Selatan dalam saingan Piala Asia 2023 di Doha, 25 Januari lalu. Pada perlawanan itu kedua-dua pasukan seri 3-3. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gol menakjubkan yang dijaringkan penyerang kebangsaan, Faisal Halim ketika menentang Korea Selatan di pentas Piala Asia 2023 kini mendahului senarai calon Gol Terbaik Kejohanan.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mencalonkan gol pemain Selangor FC itu bersama tujuh gol lain untuk peminat bola sepak khususnya di benua Asia membuat undian bagi memilih gol terbaik.

Berdasarkan undian semasa, gol yang dijaringkan Faisal berada di tangga teratas apabila mendapat 64 peratus dengan 67,608 undian, manakala tempat kedua ialah gol jaringan bintang Jordan, Mousa Al Tamari 22 peratus (23,175).

Di tempat ketiga pula ialah gol kapten Korea Selatan, Son Heung Min yang mendapat sembilan peratus (9,522) diikuti gol pemain Iran, Sardar Azmoun tiga peratus (3,153) dan gol Supachok Sarachat dari Thailand dua peratus (1,983).

Seterusnya gol pemain Jepun Keito Nakamura mendapat 380 undian, gol penyerang Qatar, Hassan Al-Haydos mendapat 320 undian dan gol penyerang Arab Saudi, Abdulrahman Ghareeb mendapat 220 undian.

Berdasarkan undian tersebut, gol jaringan Faisal jauh meninggalkan tujuh gol yang lain, sekali gus berpeluang untuk merangkul anugerah Gol Terbaik Kejohanan sekali gus melakar sejarah baharu buat Malaysia.

Faisal atau nama julukannya Mickey menjaringkan gol tersebut dengan ‘mengayam-ayamkan’ pertahanan dan penjaga gol Korea, Kim Min-jae dan Jo Hyeon-woo pada minit ke-52 di Stadium Al Janoub yang membolehkan Malaysia mengikat skuad Taeguk Warriors 1-1.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada AFC untuk menentukan sama ada gol Faisal itu layak untuk dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Untuk makluman, sesi undian akan ditutup esok pada pukul 10 malam waktu Malaysia dan diharap jaringan Faisal akan dinobatkan sebagai Gol Terbaik Kejohanan kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×