PETALING JAYA: Kemas kini terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan ranking skuad Harimau Malaya jatuh dua anak tangga daripada tangga ke-130 kepada 132 dunia.
Kedudukan Harimau Malaya jatuh dua anak tangga selepas kehilangan 12.7 mata susulan dua kekalahan dan satu keputusan seri pada kempen Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar, bulan lalu.
Senarai ranking terkini menyaksikan Malaysia kini mengumpul 1110.17 mata berbanding 1122.87 pada kemaskini terakhir pada Disember lalu selepas aksi cemerlang di kelayakan Piala Dunia 2027/Piala Asia 2027.
Sebagai rekod, ini kali kedua ranking skuad kebangsaan jatuh di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.
Pada kemas kini pada Oktober tahun lalu, skuad negara jatuh tiga anak tangga daripada 134 kepada 137 dunia namun kembali melonjak untuk berada di kedudukan ke-130 pada bulan seterusnya.
Selepas ini, Harimau Malaya akan meneruskan baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala 2027 dengan dua lagi aksi yang akan berlangsung pada Mac.
Skuad bimbingan Pan Gon terlebih dahulu akan bertandang ke Oman pada 22 Mac sebelum menentang lawan sama di laman sendiri, empat hari selepas itu.
Ketika ini, skuad bimbingan Pan Gon mengungguli Kumpulan D hasil dua kemenangan daripada dua perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.
Selain itu, kemas kini FIFA juga menyaksikan skuad kebangsaan Vietnam kini bukan lagi pasukan bola sepak No.1 bagi rantau Asia Tenggara.
Semakan itu menyaksikan Vietnam hilang sebanyak 41.00 mata susulan tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam saingan Piala Asia 2023.
Kehilangan mata tersebut menyebabkan Vietnam jatuh 12 anak tangga berbanding ranking yang dihuninya sebelum ini, ranking ke-94 dan kini menghuni ranking ke-106 dunia.
Pada masa yang sama, kejatuhan ini turut menyebabkan Vietnam terkeluar daripada kelompok 100 pasukan terbaik dunia buat julung kalinya selepas 5 tahun dua bulan dan 17 hari.
Takhta pasukan bola sepak No.1 rantau Asia Tenggara kini miik Thailand selepas skuad yang terkenal dengan julukan Gajah Perang yang berjaya mara ke pusingan 16 pada Piala Asia 2023 berhasil meraih tambahan 29.97 mata.
Pungutan mata itu membolehkan mereka merekodkan peningkatan sebanyak 12 anak tangga sekaligus berada di ranking ke-101 dunia. – UTUSAN










