DOHA: Jurulatih Iran, Ardeshir Ghalehnoy memohon maaf kepada para peminat bola sepak negara itu dan mengambil tanggungjawab penuh selepas skuad kendaliannya gagal melangkah ke final Piala Asia 2023.
Ghalehnoy berkata, kegagalan menyudahkan deretan peluang yang terhidang menjadi punca utama anak-anak buahnya tumpas kepada 2-3 kepada juara bertahan Piala Asia, Qatar dalam aksi di Stadium Al-Thumama itu.
“Saya minta maaf kepada rakyat Iran kerana gagal membawa pasukan ke final. Terima kasih kepada semua pemain, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan yang telah berjuang hingga ke separuh akhir.
“Dalam perlawanan ini (separuh akhir) para pemain telah berjuang habis-habisan, babak kedua kami ada banyak peluang namun ini adalah bola sepak, kita dihukum apabila tidak menyudahkan peluang terhidang.
“Untuk segi taktikal kami adalah lebih baik, jika anda mencari seseorang untuk dipersalahkan, salahkan saya, bukan persatuan. Ini adalah hari paling malang dalam hidup saya,” kata Ghalehnoy selepas perlawanan.
Terdahulu, permainan pada masa tambahan antara Qatar dan Iran berlangsung dalam keadaan tegang sehingga menyebabkan berlakunya beberapa insiden yang menyebabkan pemain kedua-dua pasukan saling bertengkar.
Dalam aksi itu, pemain Iran Shojae Khalilzadeh dibuang padang pada masa kecederaan sebelum keadaan semakin buruk antara kedua-dua pemain berlaku selepas wisel penamat.
“Perkara yang kami dengar dari penonton tidak begitu bagus yang mencetuskan rasa marah, itulah sebabnya terdapat reaksi selepas itu,” kata pemain sayap Iran, Alireza Jahanbakhsh. – AGENSI/UTUSAN










