PETALING JAYA: Pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui dia berbesar hati sekiranya jaringan terbaik Piala Asia 2023 yang dilakukannya disenaraikan ke Anugerah Puskas FIFA sebagai gol terbaik dunia.
Semalam, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan secara rasmi jaringan Faisal yang juga tonggak lincah Selangor FC itu diumum sebagai ‘Goal Of The Tournament’ Piala Asia 2023 menerusi undian penyokong.
Menerusi pengesahan AFC itu, Faisal yang dikenali dengan panggilan Mickey muncul sebagai pemain pertama Malaysia memenangi anugerah itu sekali gus mengetepikan 132 gol lain sepanjang kejohanan yang berlangsung Qatar bulan lalu.
“Pada saya kalau gol saya ini disenaraikan ke Puskas (FIFA) cukup besar sebenarnya, ke anugerah yang cukup besar. Tetapi saya sebagai pemain amat berbangga kalau disenaraikan.
“Untuk menang sudah tentu jauh sekali dalam anugerah tersebut, tapi rezeki kita tak tahu. Saya dah menang untuk Piala Asia (gol terbaik kejohanan) ini pun sudah bermakna untuk saya.
“Ia satu anugerah terbesar dalam hidup saya dan memori ini akan saya ingat sampai bila-bila. Saya rasa Puskas itu saya tak nak fikir sangat, saya tak nak fokus sangat. Fokus saya sekarang untuk pasukan kebangsaan dan kelab saya,” katanya.
Terdahulu, gol Faisal mendapat 85 peratus undian untuk meninggalkan tujuh gol lain dalam senarai akhir Gol Terbaik Piala Asia 2023.
Peratusan itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian, sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.
Mengulas lanjut kejayaan mengatasi pemain bertaraf dunia seperti Heung Min yang beraksi bersama Tottenham Hotspur di Liga Perdana Inggeris dan Al Tamari di Liga Perancis dengan Montpellier HSC, Faisal berkata, dia tidak sangka memenanginya sama sekali.
“Sudah tentu tidak sangka sama sekali, saya tak pernah jangka dapat mengatasi pemain-pemain yang hebat, nama-nama yang besar. Ini semua atas rezeki, atas usaha saya dan atas rakan-rakan saya yang membantu.
“Semua rakyat Malaysia (terima kasih) dan jurulatih daripada pasukan kebangsaan, jurulatih Kim Pan Gon dan semua terlibat dalam membentuk saya, membantu saya untuk menjadi pemain terbaik.
“Begitu juga kelab saya yang banyak membimbing saya. Saya takkan lupa apa yang saya ada sekarang, dan saya tak pernah rasa bangga apa yang saya ada sekarang,” katanya.
Malaysia pernah menggemparkan dunia apabila di Anugerah Puskas pada 2016 lalu apabila sepakan percuma Faiz Subri dinobatkan sebagai pemenang Puskas pada tahun berkenaan. – UTUSAN









