Cheng Hoe gembira pemain baharu Selangor FC cepat serasi

Cheng Hoe gembira pemain baharu Selangor FC cepat serasi

TAN CHENG HOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keserasian pemain baharu di kem Selangor FC menceriakan pengendalinya, Tan Cheng Hoe dan dia menganggap situasi itu amat positif dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Selepas berjaya membawa gergasi Merah Kuning menjadi naib juara Liga Super musim lalu, Cheng Hoe juga mengakui tidak sabar untuk memulakan musim baharu yang lebih gemilang dengan ‘raja’ Lembah Klang itu.

Menurut Cheng Hoe, pemain-pemain baharu yang dibawa masuk seperti Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Nooa Laine dan Azim Al Amin berlatih dengan baik dan menampakkan keserasian bersama rakan pasukan.

“Sesi latihan kami berjalan dengan baik setakat ini. Saya perhatikan pemain sangat bersemangat, yang menjana mood positif dalam skuad.

“Pada masa yang sama, barisan kejurulatihan telah mengatur rutin latihan mereka dengan teliti untuk memastikan kecergasan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik memandangkan mereka menghadapi sesi pra-musim yang agak panjang kali ini.

“Malah pemain baharu seperti Fernandez, Fortes, Laine dan Azim telah berlatih dengan berkesan. Mereka cepat berkenalan dengan rakan sepasukan yang lain. Ini menunjukkan bahawa semua orang bekerjasama dengan baik antara satu sama lain. Saya tidak sabar untuk mulakan musim ini,” jelas Cheng Hoe seperti dipetik di laman rasmi Selangor FC.

Musim 2024/2025 bakal menjadi pentas yang agak berbeza buat Selangor apabila buat kali pertamanya akan beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 yang baru sahaja diperkenalkan tahun ini.

Skuad Selangor akan memulakan sesi pra-musim di luar negara pada awal Mac sebelum pemain bawah 23 tahun (B-23) negara dipanggil ke kem latihan bagi membuat persiapan menghadapi kejohanan Piala Asia B-23, yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada April. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN