Belum cergas tapi mampu jelma emas - Beasley

Belum cergas tapi mampu jelma emas – Beasley

JOHN Beasley terpaksa memantau perkembangan Azizulhasni Awang bagi memastikan dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley melahirkan rasa kagum terhadap anak didiknya, Datuk Azizulhasni Awang yang berupaya menggondol emas di Kejohanan Berbasikal Trek Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia kelmarin biarpun masih belum cergas sepenuhnya.

Beasley sebelum ini mendedahkan Azizul perlu mengambil ubat perikarditis selepas masalah jantungnya kembali menghantui jaguh dunia itu.

Malah Beasley sendiri terpaksa memantau perkembangan Azizul bagi memastikan dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius.

Bagaimanapun, Azizul membuktikan bahawa dia merupakan atlet luar biasa dimiliki negara dengan menampilkan kayuhan bertenaga dalam acara final keirin kelmarin untuk meraih pingat emas, menafikan hasrat dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Ota Kaiya apabila pemenang terpaksa ditentukan menerusi ‘photo-finish’.

“Amat menakjubkan, dia (Azizul) belum cergas 100 peratus dan dia masih mampu cari jalan untuk menang. Kekuatan dalaman dan keberanian ditampilkannya dahsyat.

“Saya sifatkannya seperti manusia luar biasa apabila dia menyarung jersi Malaysia untuk berlumba. Kami mengharungi perlumbaan yang cukup berbeza untuk saingan kali ini kerana terpaksa membuat perancangan yang begitu teliti dan ia berjaya.

“Kami amat bangga dengan pencapaiannya, keadaan kesihatannya masih lagi belum cergas 100 peratus, dan saya berharap tiada sebarang perkara tidak diingini akan menimpanya,” jelas Beasley kepada Utusan Malaysia.

Malang buat rakan sepasukan, Muhammad Fadhil Zonis yang berputih mata setelah mengalami kemalangan ketika pusingan pertama.

“Fadhil tidak apa-apa, cuma dia mengalami sedikit bengkak di badannya,” tambah Beasley. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×