Al-Taamari harapan Jordan jadi juara

Al-Taamari harapan Jordan jadi juara

MUSA Al-Taamari (kiri) mampu menjadi watak penting kepada pasukannya untuk memenangi kejuaraan sulung dan bergelar 'Raja Asia' baharu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Penyerang sensasi Jordan, Musa Al-Taamari mampu menjadi watak penting kepada pasukannya untuk memenangi kejuaraan sulung dan bergelar ‘Raja Asia’ baharu.

Aksi cemerlang Al-Taamari mengetuai jentera serangan sepanjang kejohanan membantu pasukannya mara ke final kali pertama dalam sejarah mereka.

Jordan layak ke peringkat kalah mati sebagai antara empat pasukan tempat ketiga terbaik tetapi sejak itu mereka semakin meningkat.

Dalam kejohanan dibayangi bintang Liga Perdana Inggeris seperti pemain Korea Selatan, Son Heung-min dan Lee Kang-in (Paris St Germain), sebaliknya Al-Taamari, 26, yang lebih menyerlah dalam pertembungan separuh akhir kedua-dua pasukan.

Al-Taamari yang sentiasa bekerja keras adalah nadi kepada tekanan berterusan Jordan dalam mengucar-ngacirkan pertahanan lawan dengan larian pantasnya selain kebijakan membaca corak hantaran lawan sehingga memaksa pemain Korea Selatan melakukan kesilapan.

Gol pertama Jordan ketika menewaskan Taeguk Warriors 2-0 hasil kebijaksanaan Al-Taamari manakala larian solonya untuk gol kedua melengkapkan kemenangan sensasi sekali gus mara ke final menentang tuan rumah Qatar pada final malam ini.

Pemain sayap Montpellier itu, turut digelar ‘Messi Jordan’ dan memperagakan aksi cemerlang di bawah kendalian jurulatih Jordan Hussein Ammouta.

“Jurulatih menerapkan taktikal disiplin dalam kalangan kami. Dia memberikan kami keyakinan dan semangat juang tinggi serta kesabaran aspek paling utama.

“Ini bukan usaha individu tetapi berpasukan. Saya tak akan sampai ke tahap ini jika bahagian belakang dan tengah kurang memberikan saya bola.

“Apabila mendapat peluang, saya lebih suka berlari ke arah gawang dan cuba mencari jaringan. Qatar pasukan yang kuat dan kami bersedia untuk berdepan mereka.

“Kami akan memberi segalanya dan cuba keluar padang sebagai juara pada aksi esok (malam ini),” katanya.

Majoriti pemain Jordan beraksi di Timur Tengah dan Al-Taamari satu-satunya berpangkalan di Eropah dan berharap kejayaan di Piala Asia ini dapat membuka laluan kepada rakan sepasukan untuk mengikuti jejak langkahnya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN