SELEPAS menghampiri setahun kerajaan perpaduan dibentuk dan diurus tadbir oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka kini sudah mula cakap-cakap di kedai kopi dan media sosial mengenai rombakan Kabinet buat kali pertama dalam masa terdekat.
Malah percayalah, topik ini bukan sahaja berlegar di ‘port lepak’ dan media sosial, sebaliknya pasti menjadi tajuk diperdebatkan di bilik kuliah, tutorial dan forum ilmiah yang ada di negara ini.
Pelbagai penganalisis politik di kampus mula buka mulut dengan memberi cadangan nama-nama yang wajar untuk dilucutkan jawatan. Antara yang disebut ialah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Rafizi Ramli.
Tidak kurang juga beberapa nama disebut mungkin boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri bagi mengukuhkan pasukan Kabinet untuk rakyat ini.
Yang lebih ketara, ada sumber memberitahu, terdapat pemimpin peringkat negeri bakal dibawa ke peringkat Persekutuan bagi mengisi jawatan Kabinet.
Jika ditanya soal kelayakan, rasanya ada beberapa nama pemimpin negeri yang sudah memenuhi par kelayakan.
Kita boleh sebutkan di sini – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tidak boleh ditinggalkan juga beberapa nama besar dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sedang bertugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang memiliki kepakaran dan kebolehan tertentu, juga boleh diketengahkan sebagai menteri penuh, atau setidaknya timbalan menteri.
Persoalannya, adakah perkara ini bakal terjadi? Jawapannya hanya ada pada Perdana Menteri. Beliaulah pembuat keputusan dan ini merupakan hak prerogatif beliau sebagai ketua kerajaan.
Ya, keputusan terletak kepada Perdana Menteri untuk merombak ataupun tidak. Namun, daripada catatan peristiwa sejak kebelakangan ini kita boleh membaca dan menilai seolah-olah akan berlaku suatu perkara besar terhadap kepimpinan negara.
Jika kita menelusuri kenyataan Anwar, beliau mengakui mahu memikirkan soal rombakan Kabinet pada 27 September lalu. Kemudian baru-baru ini, beliau mengecilkan jangkaan dengan mengatakan ia pada asasnya hanya untuk mengenai mengisi kekosongan satu jawatan menteri yang kosong atas kematian penyandang – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan kata lain, tiada keperluan terlalu mendesak setakat ini.
Pun begitu, semasa perhimpunan di New York, Perdana Menteri meminta barisan menteri dalam rombongannya untuk memberi taklimat kepada hadirin tentang apa yang telah mereka lakukan sejak bergelar menteri, sekali gus memberi mesej untuk menunjukkan kepada orang ramai mengapa mereka harus kekal sebagai menteri.
Pada 25 September pula, empat ketua setiausaha (KSU) kementerian telah bertukar secara serentak dan ini merupakan suatu perkara yang jarang berlaku dalam sistem perkhidmatan awam negara.
KSU Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang ditukarkan sebagai KSU Kementerian Kesihatan (KKM); Datuk Seri Isham Ishak yang sebelum ini menjawat KSU Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diarah bertugas sebagai KSU Kementerian Pertahanan; KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof bertukar sebagai KSU Kementerian Perpaduan.
KSU Kementerian Perpaduan, Datuk Noridah Abdul Rahim ditukarkan ke Jabatan Wilayah Persekutuan sebagai Ketua Pengarah; dan Timbalan KSU MITI, Hairil Yahri Yaacob dilantik sebagai KSU baharu kementerian berkenaan.
REFORMASI
Pada 3 Oktober pula, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali sekali lagi mengumumkan empat pelantikan baharu bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam negara.
Ia melibatkan Timbalan KSU Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan KSU Kementerian
Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Semua ini mungkin petunjuk Perdana Menteri bukan sahaja mahu membaharukan wajah Kabinet beliau, malah mahu kepimpinan perkhidmatan awam negara turut dirombak demi mencapai kualiti kerja yang lebih dirasai sehingga ke peringkat bawahan.
Jika telahan ini benar, maka apa yang sedang diusahakan oleh Perdana Menteri saat ini adalah tepat – mengubah kepimpinan kementerian bermula daripada menteri, timbalan menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam.
Anwar mungkin sedar, jika hanya yang berubah itu melibatkan menteri dan timbalan menteri, kepimpinan perkhidmatan awam masih orang yang sama. Maka beliau sukar untuk menggerakkan reformasi dan revolusi untuk gerak kerja kerajaan.
Dalam pada itu, ada juga mencadangkan Perdana Menteri melantik Menteri Kewangan Kedua untuk membantunya di Kementerian Kewangan kerana beliau mempunyai terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan untuk rakyat dan negara.
Dengan tidak mahu memetik beberapa nama yang dicadangkan untuk jawatan tersebut, ramai berfikir mewujudkan kembali posisi Menteri Kewangan Kedua itu ada asas dan relevan pada saat ini.
Anwar pasti akan ketinggalan banyak perkara untuk beliau lakukan jika dalam satu masa terpaksa berperanan besar di dua tempat berbeza. Justeru, beliau wajar diberi seorang pembantu bertaraf menteri yang boleh melancarkan perancangan Anwar untuk masa depan negara serta rakyat.
Apa pun, ia cuma sebuah pandangan daripada mereka yang membuat penilaian dari luar. Mungkin juga situasi dihadapi sebenar jauh lebih kritikal dan memerlukan pengorbanan masa untuk sesuatu perkara itu menampakkan hasilnya.
Yang lebih penting, kerajaan ini harus kekal kuat dan utuh supaya mampu memberi keterjaminan kestabilan politik untuk negara ini secara bersama.
Persoalannya, adakah benar Perdana Menteri bakal membuat rombakan Kabinet dengan mengugurkan beberapa nama dan melantik pemimpin di peringkat negeri untuk melakukan tugas di Persekutuan? Kita tunggu dan lihat.-UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).











