5,648 hotspot banjir seluruh negara

5,648 hotspot banjir seluruh negara

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat persiapan rapi melibatkan semua agensi yang terlibat dan juga komuniti setempat bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Peng­airan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot atau berisiko banjir yang meliputi 161 daerah di seluruh negara yang memerlukan perhatian khusus dan persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sehubungan itu, JPS telah bersedia dengan 1,342 stesen tele­metri hujan dan aras air, 543 siren amaran banjir, 1,526 tolok turun dan 737 pam bergerak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idris berkata, sebagai persiapan menghadapi musim banjir kali ini, pihaknya dan kerajaan ne­geri sentiasa mengadakan latihan bagi meningkatkan kesiapsiagaan berdepan musim tengkujuh yang dijangka tidak lama lagi.

“Latihan yang diadakan iaitu Program Pengurusan Risiko Bencana Berasakan Komuniti (CBDRM) sudah diadakan sepanjang tahun terutama menjelang monsun timur laut.

“Seramai 24,069 peserta terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam latihan kali ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, walaupun penduduk boleh dianggap sudah tahu apa yang perlu dilakukan semasa musim banjir, namun pihak NADMA akan tetap membuat persiapan rapi demi keselamatan orang awam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 104 lokasi cerun di seluruh negara dikenal pasti sangat kritikal untuk berlaku tanah runtuh dan aliran puing terutama menjelang tempoh monsun timur laut bulan depan.

Selain faktor tanah runtuh, hujan lebat dan berterusan juga membawa risiko banjir di kawasan-kawasan yang dikenal pasti itu.

Khairul menjelaskan, NADMA dan agensi-agensi lain beserta dengan pihak penyedia telekomunikasi berusaha untuk memberi amaran awal kepada penduduk yang terlibat bagi membolehkan mereka untuk membuat persiapan awal.

Selain itu, katanya, NADMA juga mengambil tindakan bersiap sedia terhadap lokasi-lokasi yang dikenal pasti kritikal supaya sentiasa peka dengan sebarang per­ubahan cuaca.

“Sebanyak RM323.63 juta diperuntukkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk kegunaan 161 buah daerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN