Motif celoreng seragam tentera diabadikan dalam busana tradisional pelbagai kaum, istimewa Hari Kebangsaan ini.
Perancang Majlis dan Dekorasi Naik Buai, Ziddaini Putra Yazit, 45, berkata, dalam projek dipanggil Projek Kesetiaan itu, beliau mengangkat rona Jalur Gemilang dalam motif celoreng.
Katanya, pada peringkat awal, dia mahu menghasilkan uniform tentera versi Merdeka sahaja namun tidak menyangka konsep asal itu menjadi pencetus untuknya menghasilkan sembilan rekaan pakaian mengikut kaum daripada fabrik celoreng Jalur Gemilang pula.
“Daripada tiga meter kain kepada 10 meter kemudian dapat ilham untuk kembangkan kepada 30 meter dengan sembilan rekaan pakaian merdeka versi celoreng pelbagai kaum.
“Antaranya pakaian tradisional dihasilkan ialah Puteri Perak, Ngepan Iban, Pahlawan Melayu, Sari, Samfu, Kadazan Papar, uniform tentera dan angkasawan serta cef. Koleksi ini boleh mendidik anak muda erti permuafakatan kaum dan kemerdekaan.
“Koleksi ini sebagai lambang kesetiaan, tanda menzahirkan cinta kepada negara pada sambutan kemerdekaan yang ke 66 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Projek berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama bersama individu yang berkemahiran dalam bidang tertentu seperti seni sulaman dari Pulau Pinang dan pembuatan aksesori tradisional dari Sarawak. Tidak ketinggalan khidmat pakar daripada pelbagai kaum seperti India dan Iban.
Cabaran busana
Mengulas mengenai cabaran, kata Ziddaini ia memakan masa berikutan perlu pengesahan banyak pihak sebelum dapat merealisasikan sehelai busana.
“Contohnya untuk pakaian Kadazan Papar, bukan mudah untuk menukar warna asal baju tradisional itu yang berwarna hitam kepada putih dan celoreng. Saya perlu mendapat kebenaran pihak tertentu seperti pejabat Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Dr. Benedict Topin dan Ketua Adat.
“Selepas tiga hari barulah dapat pengesahan. Saya tidak boleh nyatakan ia sebagai baju Kadazan tetapi dibenarkan sebagai busana Kadazan Kontemporari atau inspirasi sahaja,” katanya.
Tidak dijual
Ramai memberi maklum balas positif dengan kelainan busana dihasilkan, namun Ziddaini berkata, ia dihasilkan untuk koleksi peribadinya dan hanya boleh disewa sahaja.
“Selain mengeluarkan kos sendiri, impian menghasilkan busana Merdeka versi celoreng direalisasikan atas sumbangan individu berkepentingan, ketua kampung dan juga rakan media sosial,” katanya yang menjelaskan semua pakaian versi celoreng itu dihasilkan dengan kos sebanyak RM5,000.










