Terima Kasih Sanusi sokong madani

Terima Kasih Sanusi sokong madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMPEN pilihan raya negeri (PRN) semakin hangat menjelang hari mengundi pada 12 Ogos ini. Dari enam negeri yang terlibat, Kedah menjadi tumpuan utama media massa. Ini kerana isu-isu panas yang melingkari Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, sehingga dianggap satu fenomena oleh penyokongnya.

Imej Muhammad Sanusi mengangkat tangan bila muncul di Mahkamah Sesyen Selayang untuk dua dakwaan mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lalu menjadi tular.
Foto beliau mengangkat tangan itu seolah-olah ‘meniru’ gaya angkat tangan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika tiba untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 30 September 1998.

Sejak aksi tersebut dilakukan, banyak foto dan video TikTok dengan kapsyen Muhammad Sanusi berkata ‘saya angkat tangan lawan Anwar Ibrahim’ muncul sebagai tanda sokongan kepada Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pengarah Pilihan Raya Pas itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Muhammad Sanusi juga memanfaatkan trend tersebut dengan mengangkat tangan dengan cara yang sama dalam ceramah-ceramah politiknya malah mengajak orang ramai yang hadir mengangkat tangan sebagai tanda sokongan kepada beliau.

Calon Jeneri itu dianggap sebagai wira dalam menentang kezaliman, mengulangi penentangan ke atas kezaliman yang ditimpakan ke atas Anwar pada era reformasi dahulu. Cuma bezanya beliau dikaitkan dengan ‘refornusi’.

Anwar sendiri secara sinis menyindir tindakan Muhammad Sanusi ‘meniru’ gaya angkat tangan tersebut kerana berbeza dengan beliau yang memang dizalimi oleh kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada waktu itu berbanding Menteri Besar Kedah itu.

BERBEZA
Konteks Muhammad Sanusi jauh berbeza. Sanusi didakwa kerana melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan dipercayai boleh membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Satu pertuduhan (terhadap Muhammad Sanusi) membabitkan kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Sultan Selangor dalam isu lantikan Menteri Besar. Satu lagi untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam isu Kerajaan Perpaduan.

Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, dipecat sebagai ahli UMNO, dimalukan dalam media massa dengan pelbagai dakwaan salah laku seks, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipukul ketika ditahan dan dibawa dengan tangan bergari.

Sebaliknya Muhammad Sanusi tidak melalui semua itu. Tidak ada usaha untuk memecat beliau dari jawatan Menteri Besar, tidak dimalukan dalam media massa, tidak ditahan di bawah mana-mana akta, dilayan dengan baik sebelum dibawa ke mahkamah dan dibawa dengan tangan tidak bergari.

Sebab itu tidak ada kezaliman yang ditimpa ke atas Muhammad Sanusi oleh kerajaan. Pihak yang membuat laporan ke atas beliau juga bukan mewakili kerajaan tetapi pihak istana. Muhammad Sanusi juga berpeluang mendapat keadilan dari hakim yang bebas, tidak seperti perbicaraan Anwar yang berat sebelah.

Layanan ke atas Sanusi juga tidak membangkitkan apa-apa gelombang kemarahan rakyat. Ini jauh berbeza dengan layanan ke atas Anwar dahulu yang mencetuskan gelombang besar kemarahan rakyat melalui berbagai himpunan dan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Masyarakat dunia dan media antarabangsa juga tidak melihat ada yang tidak kena dengan pendakwaan ke atas Muhammad Sanusi, tidak seperti pendakwaan Anwar yang mendapat perhatian meluas ramai pemimpin besar dunia dan banyak media tersohor antarabangsa.

Jika ada motif Muhammad Sanusi untuk menumpang populariti dari insiden besar yang menimpa Anwar dahulu untuk menarik simpati dan sokongan masyarakat kepada diri dan parti beliau, maka ia bukanlah satu cubaan yang berkesan. Malah ia lebih dianggap sebagai lelucon.

HIKMAH
Walaupun begitu, ada hikmahnya dari tindakan Muhammad Sanusi itu. Satunya ialah ia mengingatkan rakyat Malaysia kepada penderitaan yang dialami oleh Anwar pada 1998.

Sejak insiden angkat tangan itu berlaku, generasi baru meneliti insiden angkat tangan Anwar dan puncanya sekali gus menghargai pengorbanan Anwar. Masa sama, generasi yang melalui sendiri era reformasi mengenang kembali peristiwa di zaman tersebut.

Satu lagi perkara yang signifikan dari insiden angkat tangan Muhammad Sanusi yang dikira menjadi satu fenomena ialah ia secara tidak sengaja menunjukkan bahawa beliau sebenarnya telah mempromosi malah menyokong konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Anwar.

Logo Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Anwar mempunyai reka bentuk seakan tapak tangan. Lima jari dengan jalur merah putih merupakan simbolisme kepada Rukun Negara manakala bulatan tapak tangan berwarna biru menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Empat warna yang digunakan untuk logo berkenaan pula ialah biru, yang melambangkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan; merah (keberanian, jati diri dan keazaman); kuning (nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan) manakala putih (keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni).

Oleh itu, Muhammad Sanusi mengangkat tangan dan menonjolkan tapak tangan yang menjadi logo Malaysia Madani secara tidak langsung adalah satu endorsement kepada konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Terima kasih Sanusi kerana membantu mempromosi dan menyokong konsep Malaysia Madani sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya dengan berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.-UTUSAN

DR. Nik Mawardi Mohamed ialah Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×