Kenali masyarakat Arab di Museum Al Amoudi - Utusan Malaysia

Kenali masyarakat Arab di Museum Al Amoudi

ARIPIN SAID ( kiri) bersama rombongan umrah dari Malaysia melawat Museum Al Amoudi Makkah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain Masjid al-Haram dan bangunan Kaabah itu sendiri, sebenarnya ada banyak lagi lokasi tersembunyi yang ramai tidak tahu kewujudannya di kota suci Mekah.

Antaranya adalah Muzium Al Amoudi yang terletak di daerah El Shimeisi, sempadan Jeddah-Makkah.

Museum Abu Bakr Al Amoudi, Kota Makkah antara lokasi disaran untuk dilawati sekiranya berpeluang ke bumi haram itu.

Muzium ini mempamerkan pameran peradaban masyarakat Arab daripada pelbagai daerah pada masa dahulu.

Antara tarikan di sini ialah paparan artifak dan aktiviti seluruh kehidupan dan budaya masyarakat Arab sejak ratusan tahun lampau sehinggalah ke perkembangan agama Islam.

Pengalaman berkunjung ke muzium berkenaan, dilalui Tokoh Budaya Melayu Nusantara Prof. Datuk Dr. Aripin Said yang baru-baru ini mengerjakan ibadah umrah bersama keluarganya.

Aripin berkata di muzium itu, umat Islam boleh mendapat gambaran Masjidil Haram, Kaabah, dan jemaah bertawaf serta bersai pada masa lampau yang sangat sederhana, selain ibadat saie dilakukan masih di kawasan umum di tanah berdebu.

“Kerajaan Arab Saudi makin peka dengan tujuan umat Islam ke sini, bukan hanya bagi tujuan keagamaan semata-mata, tetapi turut berminat mengenali tamadun sejarah.

“Bermakna tidak salah sekiranya muzium menjadi antara lokasi alternatif jemaah untuk dikunjungi,” katanya.

Museum Al Amoudi Makkah, dibangun Abu Bakar Al Amoudi, seorang konglomerat Arab Saudi pada 1993.

Binaan muzium dibina seperti kubu Arab lama, berwarna coklat seperti kebanyakan bangunan yang ada di Arab.

Difahamkan dinding muzium dengan keluasan kira-kira 2,000 meter persegi itu dibina dengan cara tradisional iaitu campuran lumpur, jerami pelepah kurma dan susu persis rumah tradisional Arab masa lalu.

Setiap seksyen muzium mempamerkan zaman yang berbeza di Arab Saudi, dari zaman tradisi atau jahiliah hinggalah ke zaman moden yang menampakkan kehebatan Islam dan bangsa Arab di bumi bertuah itu.

Antara dipamerkan ialah peralatan rumah tangga khas Arab, replika rumah zaman dulu, alat makan dan minum serta peralatan perang.

MANFAAT BERBAHASA MELAYU

Aripin turut berpeluang membuat persembahan menepuk gendang Arab diperbuat daripada kulit kibas (kambing) sambil melagukan Nazam Keindahan Islam dalam Bahasa Melayu sambil disaksikan pegawai muzium dan jemaah lain di muzium berkenaan.

Cerita Aripin, salah seorang bangsa Arab dari Yaman dikenali Muhammad Abdullah, yang mendengar nyanyian dan tepukan gendang Arab sangat tertarik dan kagum dengan rentak tepukan gendang di mainkan, yang disifatkan seperti budaya Arab tradisi.

“Muhammad berkhidmat di salah sebuah universiti di Yaman. Beliau tahu Bahasa Melayu dari pedagang Arab dan juga peniaga bazar di Mekah dan Madinah.

“Menurutnya bahasa Melayu bukan sahaja indah tetapi mudah dipelajari malah turut dijadikan bahasa komunikasi dalam kalangan peniaga di situ.

“Peniaga Arab di Mekah dan Madinah sangat bangga bila boleh bertutur Bahasa Melayu. Kelebihan itu digunakan dalam urusan jual beli bersama jemaah dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Selatan Thailand. Bagi mereka, penutur bahasa Melayu ini bukan sahaja peramah tetapi suka tawar menawar dan tidak lokek berbelanja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN