Bantut bukan perkara biasa, perlu segera diatasi - Utusan Malaysia

Bantut bukan perkara biasa, perlu segera diatasi

TUMBESARAN terbantut boleh berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari. – Foto/HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Biasalah kalau emak bapa rendah, anak pun ikut rendah.”

Ini reaksi ramai bila melihat kanak-kanak yang bertubuh lebih rendah berbanding usianya atau kanak-kanak lain.

Masalah rendah atau bantut dalam kanak-kanak tidak sepatutnya dianggap perkara biasa kerana ia secara tidak langsung mengganggu perkembangan emosi dan kesihatan mereka.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatri, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, faktor genetik atau keturunan menyumbang kira-kira 20 peratus saja dalam menentukan ketinggian seorang kanak-kanak.

“Bagi kebanyakan orang, menjadi bantut bukan satu masalah besar. Mereka mendakwa anak makan banyak walaupun bertubuh rendah.

“Hakikatnya makan banyak tidak semestinya mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan anak. Jadi, kena tahu apakah khasiat yang kurang dalam makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian, pada forum Masalah bantut dalam Kanak-kanak & Remaja: Semula Jadi atau Dipupuk? dianjurkan sempena perasmian Bulan Pemerhatian Tumbesaran anjuran Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), baru-baru.

Kempen di bawah program IMFeD For Growth yang bermula sejak tahun 2012 itu mengumpulkan usaha sama pakar penjagaan kesihatan dan ibu bapa untuk mencegah masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Antaranya Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Tadika Malaysia (PTM) dan Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak- kanak Berdaftar Malaysia (PPBM).

PENGARUH PKP

Sepanjang pandemik, ramai ibu bapa berdepan masalah penurunan pendapatan berikutan kehilangan pekerjaan atau gaji mereka dipotong.

Dr. Yong Junina berkata, ia menyebabkan tabiat makan berubah kerana mereka tidak dapat membeli makanan berkhasiat untuk anak-anak.

Pada usia lima tahun, kanak-kanak sepatutnya mencapai 60 peratus daripada ketinggian dewasa mereka.

Malangnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2022, mendedahkan 21.2 peratus atau satu dalam lima kanak-kanak mengalami masalah bantut.

NHMS 2022 turut melaporkan 6.8 peratus daripada remaja di negara ini mengalami masalah bantut.

Mereka tidak mencapai puncak pertumbuhan yang sepatutnya, iaitu 15 ke 20 peratus hampir dengan potensi ketinggian dewasa mereka.
sekat keyakinan diri

Pakar Psikologi Klinikal, Prof. Dr. Firdaus Mukhtar berkata kanak-kanak dan remaja bantut biasanya terpaksa bergelut dengan keyakinan diri yang rendah.

“Kebanyakan kanak-kanak dan remaja bantut mempunyai persepsi diri yang lebih rendah berbanding mereka yang berketinggian normal.

“Secara tidak langsung, ia memberi kesan ke atas pencapaian akademik berikutan kesihatan mental yang lebih rendah. Mereka juga berdepan risiko buli disebabkan tubuh yang rendah,” katanya.

Dr. Firdaus berkata, masyarakat perlu diberikan pendedahan mengenai bantut supaya tidak menafikan hakikat sebenar dan kesannya.

Ibu bapa katanya, perlu bersikap realistik dalam soal pertumbuhan dan perkembangan anak masing-masing dengan memantau perkembangan fizikal dan kekuatan mereka.

“Pastikan masalah sebenar anak dan jangan sekadar beri makan apa yang anak ingin makan. Kalau anak tidak mahu makan sayur, ibu bapa pun tidak makan sayur?

“Bapa perlu menjadi model kepada anak dalam menjalani gaya hidup sihat, tidur awal dan menjalani aktiviti luar. Ia bukan saja menjadikan anak gembira tapi ibu bapa juga lebih bahagia,” katanya.

Galak diet seimbang

Ramai kanak-kanak tidak makan secukupnya kerana masa yang terhad dan perlu meninggalkan rumah seawal 5.30 pagi untuk ke sekolah.

Pakar Pemakanan Klinikal, Rozanna M. Rosly berkata, kanak-kanak seawal usia lima tahun sudah ke sekolah awal pagi sehingga tidak sempat bersarapan.

“Sebelum ke sekolah mereka tidak makan pagi. Di sekolah, mereka makan makanan tengahari di sekolah. Mereka ‘berpuasa’ sehingga tiba di rumah untuk makan malam kira-kira jam 8 malam. Sukar untuk mereka mendapat makanan berkhasiat.

“Makanan sihat seimbang sebenarnya perlu bermula semasa ibu hamil lagi. Apa saja yang di makan oleh ibu, khasiatnya akan diperoleh oleh bayi dalam kandungan, “ katanya.

Katanya makanan yang dihidang kepada anak perlu mengandungi kalori, protein dan serat mencukupi.

Kanak-kanak perlu didedahkan dengan semua jenis makanan termasuk sayur-sayuran untuk pertumbuhan mereka.

Sediakan bekal sarapan yang ringkas tetap berkhasiat untuk anak walau sesibuk manapun. Sebagai contoh, bijirin campuran dengan susu segar dan buah-buahan atau telur.

Masalah bantut membimbangkan

Peratus masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di negara ini semakin kerap berlaku dengan kadar 10 sehingga 12 peratus.

Bagaimanapun, Pengerusi Program IMFeD For Growth, Prof. Dr. Lee Way Seah berkata, walaupun kebanyakan kanak-kanak dan remaja Malaysia membesar secara normal, masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak kekal menjadi suatu kebimbangan.

“Masalah bantut beri kesan jangka pendek dan panjang yang jelas. Mereka cenderung kerap jatuh sakit, terlepas peluang dalam pembelajaran sehingga menjejaskan prestasi di sekolah dan mempunyai keyakinan diri yang rendah.

“Mereka turut berisiko bantut walau pun ketika dewasa. Ia turut dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kronik, penurunan produktiviti ekonomi dan potensi pendapatan seumur hidup yang lebih rendah,” katanya.

Tambahnya masalah bantut perlu diatasi daripada awal apabila kanak-kanak tidak menerima pemakanan yang mencukupi sehingga memperlahankan kadar pertumbuhan mereka.

Tanpa tenaga, protein, lemak dan mikro nutrien mencukupi, termasuk kalsium, vitamin D dan sebagainya, pembentukan tulang dan otot kanak-kanak tidak dapat berlaku pada kadar yang sihat.

“Tumbesaran terbantut boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada di peringkat kanak- kanak mahupun remaja dan kebiasaannya berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari.

“Dari masa ke masa, kanak-kanak bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa yang optimum, malah mereka akan kekal bantut ketika dewasa dan menghadapi kesulitan yang ketara sepanjang hayat,” katanya.

Lantaran itu, beliau menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka yang berumur 1 hingga 17 tahun mendapatkan pemeriksaan tumbesaran daripada pengamal kesihatan terlatih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN