Terperangkap dengan jodoh pilihan ibu bapa - Utusan Malaysia

Terperangkap dengan jodoh pilihan ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai ibu bapa, sudah tentu keperluan dan kebahagiaan anak-anak menjadi keutamaan. Mereka akan tersenyum melihat anak mereka gembira, berjaya dalam kehidupan dan bertemu jodoh dengan calon suami atau isteri yang diidamkan.

Demikian jugalah dengan kisah Ell (bukan nama sebenar), seorang wanita yang menyerah perihal jodoh kepada Allah Taala dan kedua-dua ibu bapa untuk mencari calon suami sesuai untuknya.

Disebabkan itu juga dia tidak menolak selepas kedua ibu bapa mahu menjodohkannya dengan Emir (bukan nama sebenar) lelaki yang sudah beristeri dua.

Awalnya, Ell ragu-ragu dengan pilihan kedua ibu bapanya selepas mengetahui status Emir.

Bagaimanapun jodoh mereka diperkuatkan lagi apabila kedua-dua isteri lelaki itu sendiri, datang melamar Ell untuk suami mereka.

Susulan daripada itu satu majlis taaruf diadakan untuk tujuan berkenalan dengan lebih mendalam antara kedua-dua mereka.

“Saya bersetuju dengan pilihan orang tua. Bagaimanapun saya tidak pasti keputusan yang diambil ketika itu disebabkan terdesak kerana usia semakin meningkat, mahu menjaga hati kedua-dua ibu bapa atau benar-benar cintakan lelaki itu,” cerita Ell dalam satu pertemuan yang diatur dengannya baru-baru ini.

Kata Ell walaupun dia sudah tidak lagi bergelar isteri kepada lelaki itu, harapannya agar kisah yang dikongsikan menjadi pengajaran kepada wanita dan ibu bapa di luar sana.

Menyambung cerita kata Ell, bagi kedua-dua ibu bapanya, Emir seorang lelaki yang baik dan paling tepat untuk membahagiakannya.
Awal perkahwinan mereka memang bahagia.

Namun memasuki minggu kedua setiap kali tiba giliran bekas suami pulang ke rumahnya, perasaan takut mula menghantui diri.

Bukan dia takut sebab Emir garang atau bengis tetapi ada satu perlakuan aneh yang buatkan Ell sering menjauhkan diri iaitu nafsu seks yang dimiliki bekas suami.

Kata Ell dia bukan mahu mengelak menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, tetapi adalah tidak masuk akal dia terpaksa menghabiskan masa melayan nafsu buas bekas suami setiap kali pulang ke rumahnya.

Sepanjang tempoh itu emosi dan fizikalnya selalu diganggu.

Ekoran tidak tahan melayan nafsu buas Emir, Ell pernah terfikir untuk bercerai bagi menamatkan penderitaan yang dialami.

Namun begitu, dia terperangkap dengan jodoh yang dipilih kedua ibu bapanya.

“Berpisah untuk kembali sendirian, bagaimana pula perasaan kedua ibu bapa. Saya sangat-sangat tertekan ketika itu,” luah Ell lagi.

Tambahan pula kata Ell, perasaan sayang dan cinta kepada lelaki itu baru sahaja bercambah.

“Emir baik, tidak pernah culas menunaikan tanggungjawab kepada isteri-isteri dan anak-anaknya.

“Cuma apabila di ranjang sifatnya bertukar sama sekali,” ujarnya.

Kata Ell dia pernah menyuarakan masalah itu pada bekas suami, namun apa yang berlaku suami marah kepadanya.

Dia mengatakan isteri wajib patuh sebab itu arahan daripadanya sebagai suami.

Akuinya Ell lagi di sisi lain dia dahagakan kasih sayang lelaki bergelar suami, namun dia sebenarnya tidak sanggup melayan nafsu buas bekas suami.

Sambung Ell, setiap kali pulang ke rumah bekas suami sering minta bersama sampai dia tidak larat melayannya.

Telah beberapa kali juga dia cuba menolak pelawaan untuk bersama, tetapi bekas suami tetap memaksanya.

Akibat daripada kekerapan melakukan hubungan kelamin, Ell pernah mengalami pendarahan pada alat sulit dan kerap sakit.

Apabila dia mengadu, bekas suami tidak mengendahkan dan langsung tidak membawanya ke klinik untuk pemeriksaan.

Mereka sering bergaduh disebabkan soal itu dan sudah pasti suami akan merajuk.

Hampir berminggu-minggu dia tidak pulang ke rumah.

“Walaupun hari itu giliran saya, dia tidak pulang. Alasannya saya enggan melayannya sebagaimana isteri-isteri yang lain,” ujarnya.

Hampir tiga bulan juga Ell menyimpan perasaan sehinggalah dia terbuka hati untuk bertanyakan kepada madu-madunya.

Namun tidak ada satu patah perkataan keluar daripada mulut madu-madunya.

Mereka hanya meminta saya bersabar.

Waktu terus berjalan, daripada minggu, memasuki bulan, bulan memasuki tahun.

Sehinggalah memasuki tahun kedua perkahwinan, Ell nekad untuk berpisah.

Kata Ell dia sudah tidak sanggup untuk mempertahankan perkahwinan itu.

“Saya sedar Emir adalah menantu pilihan ibu dan ayah. Namun saya tidak sanggup lagi mengorbankan diri dan kebahagiaan hanya untuk orang lain,” ujarnya.

Kata Ell, selepas berterus terang dengan kedua ibu bapa, mereka begitu terkejut dan kecewa.

Namun menerima keputusan untuk Ell berpisah kerana lebih mengutamakan kebahagiaan anak mereka.

“Saya tak pasti bagaimana bekas-bekas madu saya masih bertahan sehingga ke hari ini.

“Sejujurnya, saya bukan wanita yang sanggup diperlakukan sedemikian rupa.Kami berpisah secara rasmi pada Disember tahun lalu,” ujarnya.

Walaupun berat hati untuk berpisah, itu adalah jalan terbaik yang mampu dilakukan.

Mungkin jodohnya bersama Emir sudah tertulis setakat itu sahaja.

“Saya hanya mendoakan yang baik-baik sahaja untuk bekas suami dan madu-madu saya.

“Saya mendapat tahu bekas madu-madu sehingga hari ini masih sibuk mencari isteri baru pengganti saya yang mampu menuruti nafkah batin suami mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Sesungguhnya, perceraian adalah perkara yang paling dibenci Allah SWT.

Bagaimanapun, sekiranya segala usaha dilakukan dalam mempertahankan perkahwinan, tetapi hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkan.

Sebagaimana Firman Allah SWT, Maksudnya:
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isteri itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Surah Al-Baqarah-229).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN