Projek konservasi MPOGCF tepati saranan antarabangsa

Projek konservasi MPOGCF tepati saranan antarabangsa

MASYARAKAT Kampung Tampenau berpeluang menambah pendapatan dengan membekalkan anak-anak pokok kepada MPOGCF untuk Projek Penanaman Sejuta Pokok di Lahad Datu, Sabah. – FB MPOGCF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 22 Mei setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Biodiversiti Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran penduduk dunia tentang isu-isu biodiversiti.

Tema tahun ini ialah Daripada Perjanjian kepada Tindakan: Bina Semula Biodiversiti yang bertepatan dengan usaha-usaha konservasi biodiversiti oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) selaku agensi peneraju konservasi biodiversiti di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Bermula April 2021, MPOGCF mengadakan perjanjian kerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan Pusat dan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak industri sawit Malaysia untuk melaksanakan projek-projek konservasi hutan dan hidupan liar.

Projek-projek konservasi yang dibawa MPOGCF adalah selari pendirian Program Alam Sekitar PBB (UNEP) serta Organisasi Makanan dan Pertanian PBB (FAO) bahawa kaedah terbaik untuk membina semula biodiversiti ialah menerusi aktiviti-aktiviti konservasi, selain untuk kepentingan flora dan fauna, ia juga membantu komuniti setempat.

Projek Penanaman Sejuta Pokok bertujuan memulih semula 2,500 hektar hutan terosot di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua, Lahad Datu, Sabah dan rehabilitasi habitat orang utan, dalam masa sama membantu ekonomi penduduk Kampung Tampenau yang membekalkan benih dan anak-anak pokok serta peluang pekerjaan sebagai penanam dan penyelenggara pokok.

Bermula Oktober 2021 dan sehingga April 2023, bilangan pokok yang ditanam mencecah 100,000 pokok daripada 12 spesies melibatkan keluasan 225 hektar dengan perbelanjaan hampir RM1.1juta.

Dalam pada itu, MPOGCF dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bekerjasama membangunkan kawasan tadahan air di tengah-tengah pusat bandar sebagai Laman Konservasi dan Pendidikan Biodiversiti yang boleh dimanfaatkan oleh institusi-institusi penyelidikan dan pendidikan di samping memberi kesedaran orang awam tentang kepentingan biodiversiti.

Kerja-kerja penanaman pelbagai pokok hutan terutama spesies terancam telah selesai melibatkan kos hampir RM1 juta yang ditaja oleh pihak industri sawit Malaysia melalui MPOGCF.

Perjanjian kerjasama MPOGCF dan Sime Darby Plantation Berhad pula melibatkan Pembangunan Model Projek Pemulihan Tanah Gambut di Estate Lavang di Bintulu, Sarawak dengan keluasan 400 hektar.

 

TUJUAN lain Projek Penanaman Sejuta Pokok adalah untuk rehabilitasi habitat orang utan.

 

TANAH GAMBUT
MPOGCF membiayai 50 hektar daripada keseluruhan projek itu dengan peruntukan dana mencecah RM1.5 juta untuk penanaman 30,000 anak-anak pokok bertujuan memulih semula ekosistem semula jadi tanah gambut.

Projek-projek ini juga membuka peluang kepada komuniti setempat untuk menambah pendapatan.

Perjanjian juga dimeterai MPOGCF, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan peruntukan dana masing-masing RM600,000 dan RM450,000 bagi membiayai dua kajian penyelidikan biodiversiti di ladang-ladang sawit di Semenanjung dan Sarawak.

Projek-projek konservasi penting masih di peringkat perjanjian termasuk Kajian Populasi Orang Utan dan Gajah Borneo di Sabah; Projek Penanaman Rumput Napier di Koridor Hidupan Liar di Brumas, Tawau; Projek Koridor Gajah di Jeli dan Projek Pemulihan semula hutan terosot di kawasan Centre Forest Spine (CFS).

Tidak dinafikan sektor perladangan kelapa sawit memberi kesan kepada biodiversiti tetapi kesannya tidak seteruk aktiviti perlombongan atau perternakan kerana perladangan menggantikan pokok dengan pokok dan kesan itu pula hanya berlaku di peringkat awal penanaman.

Selepas beberapa tahun dengan pematuhan Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang ketat, pokok-pokok sawit menghijau itu menyediakan sebuah ekosistem kepada tumbuhan, haiwan dan organisma lain.

Banyak pihak sengaja melupakan fakta, walaupun kelapa sawit merupakan tanaman komoditi untuk ekonomi, tetapi kelapa sawit juga adalah pokok yang membekalkan oksigen semula jadi kepada kepelbagaian kehidupan termasuk manusia.
Kami yakin usaha-usaha konservasi ini dapat membantu kerajaan dalam melindungi dan memulihara biodiversiti dan juga memastikan kesinambungan industri sawit Malaysia di pasaran global.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN