PAU 2023 bantu UMNO/PH rampas negeri milik PN

PAU 2023 bantu UMNO/PH rampas negeri milik PN

PAU 2023 yang diawalkan ini penting sebagai medan penyatuan dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO dan medan pengukuhan antara parti-parti pendukung Kerajaan Perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA hari ini, 7 hingga 10 Jun akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Perhimpunan ini unik kerana diadakan kira-kira selepas lima bulan penganjuran PAU 2022 pada 11 hingga 14 Januari lalu.

Lazimnya PAU dilangsungkan pada akhir tahun, namun dek kerana pandemik Covid-19, PAU 2020 dilangsungkan pada 27 hingga 28 Mac 2021 dan PAU 2021 dilangsungkan pada 16 hingga 19 Mac 2022.

Keputusan melangsungkan PAU 2023 lebih awal berban­ding kebiasaan ini dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 April lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rasionalnya untuk menyiapkan jentera parti turun padang berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan terbubar akhir bulan ini. Ini memaksa PRN diadakan pada Julai atau selewat-lewatnya Ogos.

Dalam konteks parti keramat UMNO, PRN tersebut tidak akan memberi kesan ke atas kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya hanya melibatkan perebutan kerusi DUN, waima Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan nasional (PN) menang atau kalah sekali pun tidak akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan.

Apa lagi bila Kedah, Kelantan dan Terengganu milik Pas sementara Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan milik PH.

Walaupun begitu, PRN tersebut tetap tidak boleh dipandang remeh kerana kepu­tusan yang mengejutkan boleh menjejaskan kestabilan politik.

Ada ura-ura PN merancang untuk mengekalkan tiga negeri miliknya selain merampas Selangor dan Negeri Sembilan serta mengukuhkan kedudukan di Pulau Pinang.

Teori yang digunakan ialah keputusan mengejutkan ini, khasnya jika UMNO kalah teruk, akan mendorong kepada berlakunya perubahan dalam parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jika mengikut teori ini akan ditekan untuk berundur bagi membolehkan pemimpin lain mengambil alih.

Pemimpin lain yang mengambil alih teraju kepimpinan UMNO ini pula kononnya akan ditekan untuk membawa UMNO dan BN keluar dari Kerajaan Perpaduan.

Bila perubahan teraju kepimpinan UMNO berlaku, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan seperti Parti Gabungan Sarawak (GPS) , Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) akan keluar dari kerajaan ini.
Teori ini kelihatan amat sukar untuk berlaku kerana kedudukan Ahmad Zahid dalam UMNO amat kukuh selepas pemilihan pemimpin dalam PAU tahun lalu.

Namun ada juga yang berkata kononnya ketaatsetiaan pemimpin UMNO sekarang adalah kepada bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kononnya pemimpin UMNO yang menyokong Najib sudah beralih arah dari menyokong Ahmad Zahid dalam isu pengampunan ke atas bekas presiden yang juga Perdana Menteri keenam itu yang masih belum berlaku.

Begitupun, dakwaan ini tidak berasas, apa lagi bila Ahmad Zahid dan UMNO telah membuat yang terbaik, tetapi pengampunan ke atas Najib adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Dan seperti yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, lebih 60 peratus MKT, Wanita, Pemuda mahupun Puteri sekarang adalah muka baharu. Hampir semua yang menang dalam pemilihan pemimpin pada PAU 2022 adalah mereka yang menyokong penyertaan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan.

Sokongan ke atas penyertaan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah sama dengan sokongan ke atas Ahmad Zahid kerana tanpa figura itu mustahil Kerajaan Perpaduan akan wujud.

YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru sahaja bertitah bahawa negara kini berada di landasan yang tepat bagi menjayakan agenda pembangunan.

Tanpa disebut, kejayaan membawa negara berada di landasan yang tepat ini sahamnya paling banyak disumbangkan oleh Ahmad Zahid selaku tokoh instrumental pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Inilah juga yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu berucap dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 pada 14 Mei lalu.

“Kalaulah tidak kerana komitmen Zahid (Ahmad Zahid) dan dukungan ahli-ahli Parlimen UMNO, sejarah kita tentu berubah, jadi kita juga harus iktiraf peranan beliau dan UMNO”, itu kata Anwar.

Bayangkan sahaja, UMNO hanya ada 26 ahli Parlimen, tetapi UMNO diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri I selain enam kementerian dengan portfolio yang penting iaitu Kemajuan Desa dan Wilayah, Pertahanan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pendidikan Tinggi, Undang-Undang dan Reformasi Institusi serta Luar Negeri, semuanya berimpak tinggi.

Bandingkan pula dengan DAP yang ada 40 ahli Parlimen, tetapi hanya diberi portfolio Pengangkutan, Pembangunan Kerajaan Tempatan, Belia dan Sukan serta Sumber Manusia.

Itulah pengiktirafan Anwar dan PH ke atas peranan besar yang dimainkan oleh Ahmad Zahid dan UMNO sehingga menjadikan Kerajaan Perpaduan yang diimpikan satu realiti di saat ini.

Lihatlah juga di mana Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia berpusat dan siapa ketuanya. Pusatnya ialah di Ibu Pejabat UMNO dan ketuanya ialah Setiausaha Agung UMNO.

Begitu juga dengan Sekretariat Media Perpaduan yang baru sahaja dilancarkan oleh Anwar di Semenyih Eco Village Resort, di mana ketuanya ialah Pengarah Komunikasi UMNO.

Gebang-gebang seperti 50 peratus daripada penyokong UMNO akan mengundi PN dalam PRN dan UMNO akan ‘bungkus’ dalam PRN adalah ungkapan mereka yang berdendam dengan parti keramat itu.

PAU 2023 yang diawalkan ini penting sebagai medan penyatuan dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO dan medan pengukuhan antara parti-parti pendukung Kerajaan Perpaduan.

Dalam PAU 2023 ini pembuktian dijangka diberi bahawa UMNO tidak pernah terpesong daripada agenda asalnya untuk membela Islam, Melayu dan bumiputera serta raja-raja Melayu.

Jemputan ke atas semua presiden parti-parti pendukung Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri PAU 2023 juga adalah langkah tepat di dalam konsilidasi UMNO dan Kerajaan Perpaduan.

Strategi Ahmad Zahid me­ngawalkan PAU 2023 tidak mustahil akan membantu UMNO mengemudi BN-PH memenangi negeri milik PN di samping mengukuhkan kedudukan di tiga negeri milik PH.-UTUSAN

 

DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×