BN perlu perkasa strategi PRN Kelantan

BN perlu perkasa strategi PRN Kelantan

MENJADI tanggungjawab Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan kemenangan pilihan raya negeri (PRN) kali ini berpihak kepada mereka sekurang-kurangnya dapat menafikan majoriti dua pertiga kemenangan kerusi PN. – UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN dan AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERTUBUHNYA kerajaan perpaduan di peringkat Pusat sepatutnya memberikan kelebihan terutama UMNO Kelantan dalam merangka straetgi yang efektif dalam merampas negeri itu daripada Perikatan Nasional (PN). Bukan mudah untuk UMNO Kelantan dalam misi menembus kembali kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. UMNO Kelantan wajar membuat persepakatan kerjasama dalam membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang utuh demi kepentingan dan keselesaan rakyat.

Kewujudan perbezaan dasar perjuangan parti politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya tidak mewujudkan kancah politik yang rencam sehingga memberikan impak pada strategi pilihan raya negeri (PRN) kali ini. Keadaan sedemikian boleh merugikan kedua-dua pihak sama ada BN mahupun PH.

Menjadi tanggungjawab BN dan PH untuk memastikan kemenangan PRN kali ini berpihak kepada mereka sekurang-kurangnya dapat menafikan majoriti dua pertiga kemenangan kerusi PN. Tetapi kemenangan ini merupakan satu proses kompleks melibatkan pelbagai faktor termasuk strategi, pemesejan, pembiayaan dan pembinaan gabungan komponen parti dalam PRN, Ogos ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara dijangka gabungan BN dan PH berdepan dengan PN, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Muafakat Nasional (MN) dan parti-parti lain yang turut serta dalam PRN kali ini. Ini bermakna BN dan PH perlu membina jalinan gabungan penyokong yang luas dan melibatkan diri dengan pengundi secara lapangan. Dalam penglibatan sebarang aktiviti yang dijalankan perlu mengelakkan penyelewengan dan memberi tumpuan kepada ketelusan dan akauntabiliti. Ini amat penting dalam membina hubungan kepercayaan tanpa menyebabkan wujud fenomena penaungan wang politik.

Landskap politik di peringkat negeri terutama di Kelantan dalam proses perubahan dan perubahan ini tidak sama antara satu daerah dengan daerah lain berpandukan faktor seperti kecenderungan politik, demografi pengundi mengikut saluran dan corak pengundian setempat.
Walaupun begitu, gabungan komponen BN dan PH perlu membina hubungan kukuh dengan kumpulan berkepentingan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain persatuan berkepentingan dan sealiran. Kerjasama ini juga melibatkan pemimpin masyarakat, NGO dan agama yang berpengaruh dan mampu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pengundi untuk mengundi gabungan komponen parti yang telah diberikan pencerahan jelas.

Naratif emosi merupakan faktor penting dalam membina hubungan kepercayaan dan keyakinan kukuh dalam menarik sokongan pengundi terutama anak-anak muda dan golongan kelas menengah berpendidikan. Isu-isu boleh ditekankan secara positif terutama berkaitan pendidikan, kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan kemudahan infrastruktur seperti air bersih. Kesemua isu mempunyai implikasi meluas dan kesan ke atas mood pengundi semasa hari pengundian.

INTERNET
Lebih 80 peratus rakyat merupakan pengguna internet yang aktif. Ini menyebabkan ruang media sosial kini menjadi medan tempur utama dalam soal penyampaian mesej. Seterusnya BN Kelantan sebagai komponen gabungan parti kerajaan Pusat yang mempunyai kelebihan dan akses internet meluas mampu memanfaatkan kempen politik semasa PRN dijalankan. Kehadiran mesej BN Kelantan dalam talian perlu diperkasakan dan menarik kerana boleh meningkatkan capaian dan kesedaran pengundi. Malah boleh memanfaatkan pengundi muda yang secara tradisinya mungkin tidak terlibat dalam politik.

Selanjutnya dapat membina kehadiran pengundi di akar umbi yang menganjurkan kempen dari pintu ke pintu, menggerakkan pengundi dan mengenal pasti penyokong secara sukarela. Kesukarelawanan dalam menyampaikan mesej dan menjadi penggerak parti mampu menjimatkan dana parti dalam proses PRN. Ini disebabkan pengumpulan dana dan perbelanjaan wang hangus adalah amat tinggi dalam memenangkan mana-mana calon parti bertanding. Kehadiran pengundi di akar umbi ini juga dapat memastikan setiap proses kempen sama ada dari parti lawan mahupun parti sendiri dapat mematuhi semua undang-undang dan peraturan.

Kehadiran pengundi akar umbi dapat membantu membuat penilaian terutama tingkah laku pengundi. Tingkah laku pengundi adalah berbeza mengikut daerah di Kelantan kerana bergantung kepada isu tempatan, sejarah pengundian, mesej kempen, liputan media dan jumlah keluar mengundi.

Isu tempatan sering kali memainkan faktor sentimen dalam menentukan corak trend pengundi apabila berkaitan calon dan parti bertanding. Selalunya golongan anak tempatan yang terkesan dalam isu tempatan berbanding golongan perantau. Analisa isu tempatan boleh dijadikan satu perbincangan kumpulan fokus yang tumbuh di kedai kopi mahupun dalam keluarga secara mikro. Cerapan tentang isu tempatan ini boleh dipertingkatkan apabila menjadi satu isu tular dalam media sosial yang ringkas dan padu dan mampu menarik perhatian utama.

Sejarah pengundian lebih berlaku di Kelantan kerana golongan perantau sering kali mendominasi kejutan perubahan sokongan ke atas parti-parti bertanding. Ini boleh dilihat apabila dalam PRU15 lalu menyaksikan golongan perantau telah memberikan kemenangan besar ke atas PN di Kelantan.

Ini berkemungkinan berlaku kerana mesej kempen yang dijalankan terutama dalam media sosial telah membina satu keakraban antara golongan perantau yang balik mengundi di Kelantan. Iklim politik yang berlaku di luar Kelantan memberikan satu inspirasi dan ilham mengenai keyakinan ke atas parti yang ingin disokong dalam pilihan raya nanti. Berbanding anak-anak tempatan yang tidak merantau lebih terkesan dan memahami iklim politik setempat.-UTUSAN

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×