SEGELINTIR agamawan di negara kita merintih dan merungut tentang nasib anak-anak tahfiz yang kononnya didiskriminasi dan dianaktiri dalam semua peringkat di negara ini. Dakwa mereka, masa depan pelajar-pelajar tahfiz kabur kerana tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
Pada hakikatnya, kerajaan dan pembangkang tidak pernah mengetepikan pelajar-pelajar tahfiz. Banyak sahaja program bermanfaat dan gerak kerja yang sentiasa dijalankan demi memartabatkan sekolah-sekolah tahfiz.
Masalah sebenar adalah daripada pengurusan sekolah tahfiz itu sendiri. Berapa banyak sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dengan jabatan agama negeri? Berapa banyak sekolah tahfiz yang tidak patuh piawaian kebakaran?
Mana boleh asal ikhlas dan berniat kerana syiar Islam, maka sekolah tahfiz terus diwujudkan sewenang-wenangnya tanpa hala tuju yang jelas serta patuh pada undang-undang. Bila tiada strategi dan objektif jelas, maka pada akhirnya sibuk minta sumbangan sana-sini, buat iklan di Youtube dan Facebook minta sumbangan.
Ada juga yang hantar pelajar-pelajar tahfiz keluar mengemis. Asalnya sekolah tahfiz ditubuhkan untuk ‘mensucikan’ individu-individu, namun pada akhirnya nampak sudah macam jadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula.
Sepatutnya fikirlah strategi perniagaan sendiri untuk menjana pendapatan. Ini tidak, boleh pula mengajar anak-anak tahfiz sikap meminta-minta. Bukankah dalam Islam sikap meminta-minta ini ditegah? Bukankah Islam menganjurkan supaya umatnya berusaha dan bukan mengharap bantuan semata-mata? Adakah sekolah tahfiz ini ditubuhkan untuk mengangkat syiar Islam atau sekadar tempat buat duit untuk individu tertentu? Saya tanya sahaja.

DISKRIMINASI
Bulan ramadan ini jelas menunjukkan betapa hipokritnya sikap segelintir orang agama. Cuba tengok berapa banyak masjid dan surau yang sibuk memakai khidmat imam dari negara luar bagi menjalankan ibadah solat tarawih?
Kenapa mereka tidak ambil sahaja pelajar-pelajar tahfiz yang berlambak ini? Tidak yakin dengan bacaan al-Quran merekakah? Kalau tidak yakin, buat apa buka sekolah tahfiz, tutup sahajalah.
Marah kononnya pelajar-pelajar tahfiz tidak dapat tempat dalam alam pekerjaan, habis itu kenapa sebahagian masjid dan surau dengan mudahnya membayar elaun pada tok imam luar negara untuk menjadi imam selama sebulan Ramadan?
Kenapa tidak ambil sahaja pelajar tahfiz kita dan bayar elaun pada mereka? Dalam masa kita guna khidmat mereka sebagai imam, kita juga sudah bantu beri rezeki pada mereka.
Pada hakikatnya, yang mendiskriminasi pelajar-pelajar tahfiz ni bukanlah orang luar, geng liberal mahupun mereka yang dikatakan tidak mesra dengan ajaran Islam, sebaliknya orang agama itu sendirilah yang mendiskriminasi pelajar-pelajar tahfiz tanpa sedar.
Mereka suka menyalahkan orang lain tapi mereka tidak pernah nak salahkan diri sendiri.
Saban hari hanya bertindak sebagai mangsa keadaan. Bila orang kritik, dikatanya menghina. Bila orang bagi jalan keluar, tak nak pula ikut.
Saya fikir, kerajaan sudah perlu mula bersikap tegas dengan sekolah-sekolah tahfiz ini. Jangan lagi biarkan sesiapa pun dengan mudahnya menubuhkan sekolah tahfiz. Kalau nak tubuhkan pun, pastikan mereka patuh dengan setiap undang-undang. Pastikan mereka tidak menggunakan pelajar-pelajar tahfiz sebagai ‘pengemis’ jalanan mencari dana untuk sekolah tahfiz masing-masing.
Saya tahu bukan mudah untuk ahli politik Melayu Islam bersikap tegas dengan sekolah-sekolah tahfiz ini. Mana tidaknya, ini semua lubuk undi mereka. Kalau bertegas sangat, nanti dicop sebagai antiagama, tidak dapatlah undi waktu pilihan raya nanti. Yang untung, ahli politik. Yang rugi, pelajar tahfiz yang tidak jelas hala tuju dan masa hadapan mereka.
Saya tahu ramai yang sakit hati dengan pandangan saya ini. Cuma sebelum nak marah itu, saya nak tanyalah, adakah apa yang saya catatkan dalam artikel ini fitnah semata-mata ataupun ia realiti sebenar? Adakah agamawan dan sekolah tahfiz tidak boleh dikritik sama sekali? Maksumkah mereka?
Zaman sekarang ini, eloklah kita mengkritik dengan keras dan pedas, tidak perlu lagi mengkritik dengan berlapik sebab kaedah ini sama sekali tidak berkesan. Kritikan yang lunak membuatkan orang lain pandang remeh kritikan tersebut. Bila dia tidak terasa di ulu hati, dia takkan kisah nasihat orang lain.
Tapi bila kita bantai dengan keras, dia pasti akan terasa dan bila sudah terasa itu, ambillah inisiatif nak berubah. Bukan simpan dendam lalu mentohmah orang yang mengkritik tersebut.
Saya akan terus bersuara demi pelajar-pelajar tahfiz di negara ini dan saya tidak akan berhenti mengkritik agamawan sekiranya melihat ada kepincangan dan masalah itu jelas.-UTUSAN
Penulis ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang.











