‘Runtuhkan tembok prasangka, perkauman’

‘Runtuhkan tembok prasangka, perkauman’

“KALAU takut lemas jangan berenang. Jadi, saya mengatakan, saya membuat sesuatu keputusan dan tanggungjawab itu saya pikul demi agama, bangsa dan negara,” kata Ab. Rauf dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, ketika ditanya sama ada penyertaan beberapa komponen parti lain dalam kerajaan negeri Melaka akan merubah hak istimewa orang Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

NAMA DATUK SERI AB. RAUF YUSOH bukanlah asing dalam arena politik Melaka dan Persekutuan. Dengan pengalaman luas pernah memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO terutamanya portfolio Setiausaha Kerja, kemampuan Ab. Rauf, 61, memimpin Melaka bakal diuji.

Dari kerusi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu sudah bergelar Ketua Menteri Melaka Ke-13.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan HADI AB. MANAP, Ab. Rauf berkongsi pengalamannya menerajui politik Melaka sehingga membolehkan UMNO menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021.

Ikuti wawancara berlangsung di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini yang turut disertai jurufoto, SYAFEEQ AHMAD.

 

UTUSAN: Adakah UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka lebih baik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pemilihan UMNO 2023?
AB. RAUF: UMNO Melaka ini ada dua fasa. Fasa pertama, saya balik Melaka memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan kemudian diminta untuk menguruskan suasana politik Melaka yang ketika itu kita berada dalam keadaan yang tidak mempunyai satu nilai tambah untuk mengurus tadbir negeri. Kita kalah dan tiada siapa pedulikan. Apabila berlaku krisis Langkah Sheraton, Melaka ialah negeri pertama yang mendapat kesempatan untuk merubah kerajaan negeri. Di situ saya mulakan langkah awal supaya kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan ini mestilah diterajui UMNO.

Sedangkan ketika itu, Perdana Menteri ialah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkehendakkan wakil Bersatu mesti menjadi seorang Ketua Menteri. Padahal ketika itu, Bersatu hanya ada dua kerusi sahaja, bergabung dengan komponen lain dan mereka bergabung dengan UMNO maka boleh bentuk majoriti mudah. Dan UMNO ketika itu ada 13 kerusi dan hanya memerlukan dua kerusi untuk bentuk kerajaan.

Cara saya mengolah politik sebelum tertubuhnya kerajaan rasmi dengan mandat rakyat, yang itu adalah peralihan kuasa yang dibuat secara game of numbers. Jadi, saya melihat adalah lebih baik ketika ini negeri ini ditadbir urus dan pengawal seliaan politik itu diselaraskan dengan kedudukan menerajui kerajaan dan menerajui politik di bawah satu naungan. Sudah pasti keadaannya untuk mengolah politik sekarang ini lebih baik tetapi amanah dan tanggungjawab itu jauh lebih besar.

Apa membuatkan UMNO Melaka hari ini lebih baik sedangkan BN tewas semua kerusi Parlimen pada PRU15?
Antaranya suasana yang lebih kondusif sekarang ini apabila pertukaran tiga Ketua Bahagian. Ketua UMNO Bahagian Jasin, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu. Kesemuanya terdiri daripada pimpinan anak muda. Kalau di Jasin, usia ketua bahagiannya, Dr. Muhammad Akmal Saleh berumur 35 yang juga Ketua Pemuda UMNO. Sudah pasti kita mengubah keseluruhan landskap politik di Jasin.

Seorang wakil rakyat muda, ADUN Merlimau menang Ketua Pemuda UMNO dan menang Ketua Bahagian. Jadi kita boleh jadikan dia ikon untuk menarik generasi muda melihat bahawa orang muda juga boleh dibimbing untuk menjadi pemimpin pada masa depan. Jadi, asasnya bermula di Melaka.

Begitu juga di Alor Gajah Ketua Bahagiannya, Fairul Nizam Roslan ialah bekas Ketua Pemuda negeri usianya baru menjangkau 40 tahun. Dan kalau kita tengok di Tangga Batu, Ketua Bahagiannya, Datuk Rais Yasin berumur 37 tahun. Dalam semua pemimpin bahagian ini, saya adalah merupakan ‘abang long’. Saya sudah berumur 61 tahun, jadi saya yakin untuk meremajakan UMNO ini, kita lihat bahawa dengan keadaan orang muda dipilih menjadi pimpinan di peringkat bahagian. Itu saya katakan tadi akan jadi lebih baik kerana mereka mempunyai jangka masa yang panjang untuk melakarkan riwayat politik mereka.

Perkongsian kuasa dengan PH di Melaka meskipun BN mempunyai kedudukan yang kukuh, tidakkah ia memberi perspektif negatif dalam kalangan rakyat terutama penyokong?
Untuk membuat satu keputusan besar, pastinya ada impak besar. Sama ada positif atau negatif. Jadi, apa yang saya nak cakap pada masyarakat di luar, yang bertanya apakah perlunya kita meletak seorang wakil rakyat yang partinya tidak bersama-sama membentuk kerajaan negeri?

Ini berbeza dengan di Perak atau Pahang ataupun pembentukan kerajaan di Putrajaya. UMNO adalah sebuah parti yang keterbukaannya tiada sempadan. Tiada sempadan maksudnya kita menghilangkan tembok prasangka demi rakyat. Kalau kita tengok keputusan PRU15, mustahil UMNO boleh membentuk kerajaan kerana kemenangannya minoriti lebih kurang 29 kerusi Parlimen. Kalau diikut secara simple audit, UMNO tidak boleh bentuk kerajaan tetapi tanpa UMNO, kerajaan tidak boleh dibentuk. Jadi apabila itu berlaku, maksudnya ada satu keyakinan daripada parti yang menjemput UMNO tanpa prasangka supaya UMNO bersama-sama membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Begitu juga di Melaka, kita menjemput Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), seorang wakil daripada PH untuk bersama-sama kita tanpa prasangka dan juga semangat yang ada di Putrajaya itu diterjemahkan di Melaka.

 

 

“dalam dunia serba baharu ini, maka pendekatan juga mesti baharu. Idea juga mesti baharu, kita tak boleh bercerita, bekerja cara lama,” tegas Ab. Rauf berhubung usahanya mahu mengukuhkan jentera pilihan raya BN Melaka menghadapi PRU16.

Keterbukaan, survival UMNO PRU16

Bagaimana Datuk Seri melihat survival politik UMNO terutamanya pada PRU16 selepas BN perlu berkongsi kuasa melalui kerjasama dengan PH?
Kita kena tengok 2023 dengan 10 tahun ke depan dan 2023 dengan 10 tahun ke belakang. Survival politik UMNO boleh diukur apabila kita melihat parti ini akan menjadi pilihan utama untuk diberikan mandat oleh rakyat mengurus tadbir negeri atau negara. Sudah pasti dalam suasana politik sekarang UMNO kena lebih kreatif untuk menjangkau keyakinan rakyat dalam keterbukaan kerajaan menerima pengundi-pengundi muda yang boleh memilih kerajaan secara terbuka.

Jadi untuk menentukan UMNO ini lebih relevan, kita kena sesuaikan diri dalam dunia yang serba canggih, kita tidak boleh buat secara konvensional. Kita mewarisi secara tradisional tetapi pengolahan politik tidak boleh dibuat secara konvensional. Ia mesti mengikut fasa dan suasana ketika ini, jadi generasi yang akan mengolah masa depan negara ialah generasi baharu. Aliran masuk pengundi muda akan mengatasi stakeholder yang ada pada UMNO dan mana-mana parti lain.

Bagaimana UMNO menangkis tohmahan kononnya UMNO menggadaikan prinsip apabila bekerjasama dengan musuh tradisi khususnya DAP?
Kita kena tengok demografi politik rakyat Malaysia sekarang. Memang betul UMNO sebuah parti yang memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Itu asas perjuangan UMNO sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini. Asas itu tidak berganjak daripada dasar yang kita ada. Dan apa yang mencurigai kita, apa yang memburu kita supaya kita tidak bersama dengan parti-parti yang telah didoktrinkan sejak lahir bahawa parti-parti yang bergabung dalam PH merupakan parti cauvinis. Padahal kalau kita tengok trend baharu sekarang ini, rakyat tidak memikirkan sama ada apa juga polisi parti tersebut.

Sedangkan UMNO masih berpegang teguh kepada mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu. Itu juga perjanjian yang dimeterai untuk kerajaan perpaduan di antara parti gabungan yang membentuk kerajaan di Putrajaya, UMNO menegaskan UMNO boleh bergabung, seperti mana saya cakap awal tadi UMNO tidak boleh membentuk kerajaan tetapi tanpa UMNO kerajaan tidak boleh dibentuk, jadi jambatannya adalah mesti dipersetujui bahawa hak istimewa orang Melayu ini dilindungi dan terajunya mesti UMNO.

Jadi, UMNO adalah kuasa pengimbang, begitu juga di Melaka. Kita mempunyai lapan Exco daripada UMNO yang akan membuat dasar, maka parti gabungan hanya ada tiga. Sudah pasti saya akan menggunakan kuasa pengimbang yang ada di Putrajaya untuk Melaka melindungi hak-hak orang Melayu.

Saya akan membawa satu naratif baharu iaitu meruntuhkan tembok prasangka, prasangka terhadap perkauman, prasangka terhadap ideologi politik. Tetapi kita tidak boleh berprasangka meruntuhkan keharmonian sekiranya kita tidak menghormati Perlembagaan yang telah termaktub dalam negara. Akta 153 memberi perlindungan terhadap hak-hak orang Melayu. Itu teras UMNO. Saya nak meruntuhkan tembok prasangka ini. Kalau kita melihat sekarang mana ada hak-hak orang Melayu yang telah kita tinggalkan. UMNO masih lagi berpegang teguh pada perkara ini. Contoh di kerajaan perpaduan, semua hak orang Melayu itu terletak dalam Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah. Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felda, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) kini di bawah naungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Maka Timbalan Perdana Menteri memegang amanah orang Melayu dan saya di Melaka juga memegang amanah orang Melayu.

Bagaimana Datuk Seri berdepan kritikan yang dilontarkan?
Sebagai seorang pemimpin, kita kena menerima kritikan dan kita kena terima pujian. Tak semua orang suka kita dan tak semua orang tak suka kita. Jadi saya mengambil sikap positif, yang mana kritikan yang tidak melebihi sempadan saya ambil sebagai panduan untuk menambah baik kepemimpinan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN