MUKADIMAH
RAMAI dalam kalangan kita lebih mempercayai laporan tular Pusat Astronomi Antarabangsa (IAC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kononnya Hari Raya Aidilfitri di seluruh dunia ialah pada Jumaat, 21 April ini.
Namun, ramai pakar di Malaysia meragui kesahihan berita itu. Antaranya Penasihat Persatuan Falak Syari’ Malaysia, DATUK DR. AZHARI MOHAMED yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta pernah dilantik sebagai panel pakar falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ikuti pandangan beliau ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AMREE AHMAD di Putrajaya, baru-baru ini bagi mengupas isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri di negara ini.
UTUSAN: IAC kata tarikh 1 Syawal 1444 Hijrah ialah 21 April 2023. Komen?
AZHARI: Ada tiga kemungkinan yang kita boleh andaikan sebagai justifikasi mengapa IAC isytihar tarikh itu tetapi kita perlu lihat data falak UAE. Mengikut kiraan saya menggunakan perisian FalakSuite 3.0 yang dibangunkan bersama Wan Kamel Wan Hussain, ijtimak dijangka berlaku di Abu Dhabi, UAE pada 20 April bersamaan 29 Ramadan, pukul 8.12 pagi.
Ketinggian bulan adalah 3° 53’ ketika Maghrib pukul 6.47 petang, manakala jarak lengkung bulan ke matahari adalah 4° 39’. Bulan mempunyai iluminasi cahaya sekitar 0.2 peratus dan umurnya ketika terbenam pukul 7.08 petang pula adalah 10 jam 56 minit.
Pertama, jika diandaikan IAC mengisytiharkan tarikh 1 Syawal jatuh 21 April hanya berdasarkan rekod kenampakan hilal dengan statistik sifat-sifat bulan yang serupa atau hampir serupa, ia tidak dapat diterima. Ini kerana rekod kenampakan hilal termuda yang pernah kelihatan di dunia adalah berumur 13.5 jam yang dicerap pada 1996.
Kedua, sekiranya dikatakan pula pengisytiharan dibuat berdasarkan sifat-sifat bulan pada 20 April memenuhi kriteria imkanur rukyah (KIR) yang diguna pakai di UAE, ini juga tidak boleh diterima kerana nilai KIR dicadangkan menerusi Resolusi Istanbul 2016 semasa Kongres Penyatuan Kalendar Hijri adalah lebih tinggi, iaitu altitud bulan ketika Maghrib adalah 5° manakala elongasi bulan ke matahari adalah 8°.
Oleh itu saya berkeyakinan IAC guna kaedah hisab wujudul hilal tanpa rukyah dalam mengisytiharkan tarikh 1 Syawal sebagai 21 April. Kaedah ini ada maksud iaitu jika selepas berlaku ijtimak, bulan didapati ada di atas ufuk walau sekejap mana dan walau serendah mana sekali pun ketika Maghrib, maka esok adalah 1 haribulan Hijriah.
Tetapi itu adalah pandangan IAC sahaja dan kita tidak pasti pula pendirian sebenar kerajaan UAE. Namun, jika kaedah hisab imkanur rukyah yang berdasarkan Resolusi Istanbul 2016 digunakan, kita jangka UAE pun akan beraya pada 22 April sebab syarat-syarat kenampakan hilal tidak dipenuhi.

Bagaimana pula amalan di negara kita?
Di Malaysia, kita guna kaedah rukyah dan hisab. Mengikut rekod, penggunaan kaedah hisab berdasarkan konsep wujudul hilal digunakan sejak 1930-an untuk menentukan tarikh awal bulan-bulan Hijriah kecuali Ramadan dan Syawal digunakan kaedah rukyah sahaja, manakala penetapan Hari Raya Aidiladha adalah sehari selepas wukuf di Arafah.
Namun, sejak 1996, hisab wujudul hilal dihentikan sepenuhnya. Sebaliknya Malaysia guna kaedah hisab berdasarkan konsep imkanur rukyah dengan kriteria MABIMS 1991 yang diasaskan daripada Resolusi Istanbul 1978. Ini diikuti kriteria MABIMS 2021 untuk kesemua bulan Hijriah dan ditambah dengan kaedah merukyah hilal untuk menetapkan permulaan tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.
Di samping itu, Malaysia turut menggunakan konsep disebut matla’, iaitu tempat terbit anak bulan. Semua negara yang berlainan kedudukan dan wilayahnya ada matla’ berbeza. Kita hanya boleh terima pakai hasil cerapan hilal matla’ di negara kita dan bukan hasil keputusan cerapan dari negara lain.
Konsep kesatuan matla’ global masih belum diterima pakai, apatah lagi negara-negara MABIMS walaupun hakikatnya bersetuju untuk guna KIR MABIMS 2021 untuk kesemua bulan Hijriah. Namun, untuk penetapan tiga bulan utama, Brunei menggunakan kaedah rukyah, Indonesia dan Malaysia pula rukyah dan hisab imkanur rukyah manakala Singapura menggunakan hisab imkanur rukyah.
Sebab itu apabila ada gesaan untuk Jakim kaji semula penggunaan kaedah hisab imkanur rukyah MABIMS 2021 atas alasan IAC dan juga pihak Muhammadiyah di Indonesia yang akan sambut Hari Raya Aidilfitri pada 21 April, saya tidak bersetuju. Bagi saya ia tidak perlu dilakukan kerana kaedah hisab wujudul hilal tidak lagi digunakan bagi penetapan awal bulan-bulan utama sejak 1996 di negara-negara MABIMS.
Oleh itu, apa jua keputusan yang dibuat oleh UAE ataupun mana-mana negara sekalipun berkaitan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka tidak akan terpakai di Malaysia disebabkan masing-masing ada kaedah penetapan tarikh awal bulan Hijriah dan matla’ yang tersendiri. Dalam hal ini, saya ingin seru umat Islam di negara ini untuk bersikap lebih rasional dan beri kepercayaan penuh kepada pakar-pakar falak yang telah diberi amanah melaksanakan tanggungjawab dalam menentukan tarikh puasa dan raya.
Jadi, mengikut kiraan Datuk, kita akan sambut Hari Raya Aidilfitri pada 22 April (Sabtu)?
Insya-Allah, ya. Kalau kita lihat hasil kiraan perisian FalakSuite 3.0, ijtimak dijangka berlaku pada 20 April bersamaan 29 Ramadan 1444H, pukul 12.12 tengah hari. Ketinggian bulan di atas ufuk adalah 2° 02’ ketika Maghrib pukul 7.31 petang di Pulau Perak, Kedah iaitu lokasi rujukan paling barat manakala jarak lengkung bulan ke matahari adalah 2° 49’.
Keadaan ini tidak memenuhi KIR MABIMS 2021 yang menyatakan bahawa hilal dianggap sebagai kelihatan jika ketika Maghrib, altitud sekurang-kurangnya 3° dan elongasi sekurang-kurangnya 6.4°.
Oleh itu, berdasarkan hisab imkanur rukyah MABIMS 2021, kita jangka Malaysia sambut Hari Raya Aidilfitri pada 22 April. Namun begitu, tarikh ini bergantung kepada keputusan rukyah dari 29 tapak pencerapan seluruh negara dan pastinya ia adalah tertakluk kepada pengisytiharan sebenar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Tapi ada perisian simulasi Stellarium yang menunjukkan kehadiran hilal pada 20 April 2023. Apa pandangan Datuk?
Ya, memang ada perisian Stellarium yang memaparkan simulasi keadaan bulan pada 20 April dan menunjukkan kehadiran hilal selepas berlaku ijtimak semasa bulan berada dalam fasa bulan baharu. Situasi ini adalah normal kerana ijtimak berlaku pukul 12.12 tengah hari pada hari tersebut dan bulan akan mula bergerak keluar dari garisan ijtimak. Ketika ini lengkuk cahaya matahari di atas permukaan bulan akan mula melebar dan kelihatan seolah-olah hilal akan terbentuk.
Namun pada masa itu, bulan hanya mempunyai iluminasi cahaya dari matahari sekitar 0.1 peratus sahaja. Dengan umur 7 jam 28 minit ketika bulan terbenam pada pukul 7.40 petang, iluminasi cahaya tersebut adalah mustahil untuk dilihat oleh mata pencerap di bumi, malah tidak ada rekod kenampakan sedemikian yang menunjukkan keadaan sebaliknya pernah berlaku setakat ini.
Menariknya, hilal 1 Ramadan 1444H yang berjaya dicerap dan dirakam di Putrajaya serta sembilan tapak cerapan anak bulan lain pada petang 22 Mac 2023, selain memenuhi KIR MABIMS 2021 dengan umur lebih 18 jam, ia ada iluminasi cahaya sebanyak 0.7 peratus. Bulan juga telah berada di atas ufuk bermula Maghrib agak lama, iaitu lebih 30 minit sebelum terbenam, berbanding hanya sembilan minit pada 20 April nanti.
Ada kemungkinan kita beraya pada 21 April (Jumaat)?
Insya-Allah, ya juga. Kemungkinan 21 April tetap ada jika kita belum buat keputusan berhubung satu lagi isu. Akhir-akhir ini saya lihat ada keghairahan dalam kalangan pasukan cerap hilal untuk guna teknologi dan peralatan moden. Ini merupakan perkembangan sangat baik tetapi perlu dibuat secara berhati-hati.
Teknologi moden ini termasuklah sistem pengimejan dan pengesanan imej bulan, sistem kamera CCD, perisian falak, teleskop berkomputer, penggunaan satelit dan sebagainya. Kini telah ada cadangan digunakan teleskop berkomputer yang boleh disambung ke layar skrin tanpa perlu lagi pencerap berada di sisi.
Sistem kamera CCD pula berupaya kesan dan rakam imej hilal, termasuk yang tidak dikesan oleh mata pencerap. Sensor imej dalam kamera itu menerima cahaya bulan melalui kanta teleskop dan terus ke kamera CCD sebelum diubahnya menjadi isyarat digital. Cahaya bulan yang didigitalkan itu akan diproses dan disimpan dalam memori kamera CCD sebagai fail video atau foto digital yang kemudian dapat dilihat pada skrin komputer.-UTUSAN










